Pecat Mahathir tindakan wajar – Idris Jusoh

Pecat Mahathir tindakan wajar – Idris Jusoh

Ia jelas menunjukkan bahawa beliau berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang sah yang diundi rakyat dan beliau patut digugurkan sebagai penasihat Petronas

Idris Jusoh

SERDANG:
Keputusan menamatkan perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah wajar kerana beliau bersekongkol dengan pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan yang sah, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, keputusan itu adalah sebulat suara oleh Kabinet semalam kerana jawatan itu biasanya diberi kepada mereka yang mendukung kerajaan sedia ada.

“Sekarang, Dr Mahathir bukan hanya bersama pembangkang tetapi jelas berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang sah yang diundi rakyat dan beliau patut digugurkan sebagai penasihat Petronas,” katanya selepas bersama kira-kira 1,000 peserta menyertai larian amal, Putra-Makna Run 2016 di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Kabinet bersetuju sebulat suara menamatkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas kerana berpendapat beliau tidak lagi mendukung kerajaan dan sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Kabinet yang membincangkan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri itu khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan bersama pemimpin pembangkang, minggu lepas.

Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat Petronas selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003. Beliau juga merupakan Pengerusi Proton Holdings sejak Jun 2014.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.