Taman Permata: Penduduk persoal status binaan rumah

Taman Permata: Penduduk persoal status binaan rumah

Penduduk mahu penjelasan sama ada proses pemindahan tanah dan pembinaan rumah telah dilakukan atau sebaliknya.

Taman-Permata-Penduduk-persoal-status-binaan-rumah

DENGKIL:
Persatuan Komuniti Taman Permata Dengkil mendakwa proses pemindahan tanah dan pembinaan rumah teres bagi pekerja ladang Taman Permata yang sepatutnya dijalankan pada bulan hadapan masih belum selesai.

Setiausahanya, Kumarahan Nagurusamy berkata, penangguhan itu berlaku apabila kerajaan negeri didakwa telah meminta RM12 juta daripada kerajaan persekutuan sebelum pembinaan rumah itu dilakukan.

Bagaimanapun Kumarahan gagal menunjukkan surat rasmi yang mengatakan kerajaan negeri meminta bayaran premium RM12 juta daripada kerajaan persekutuan.

“Sehingga kini kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri masih tidak menjelaskan sama ada proses pemindahan tanah dan kelulusan pembinaan rumah teres telah dilaksanakan atau sebaliknya.

“Sepatutnya jika kerajaan persekutuan telah membayar premium tanah ini, pembinaan rumah teres akan dijalankan pada April ini. Ini kerana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permohonan lebih kurang 30 ekar bagi tujuan pembinaan rumah teres di Ampar Tenang,” katanya dalam satu sidang media di Taman Permata Dengkil.

Kumarahan berkata demikian selepas berjuang 1,000 hari bagi mendapatkan rumah teres untuk pekerja ladang Taman Permata selepas mendapati kawasan perumahan yang diduduki oleh penduduk di Taman Permata Dengkil tidak selamat.

Sementara itu, Penasihat Persatuan itu, S Arutchelvan berharap agar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu ini pada kadar segera dan memberi makluman terkini mengenai status pembinaan rumah berkenaan.

Ini kerana penduduk tersebut dikatakan telah lama berjuang untuk mendapatkan rumah teres itu.

“Diharap pembinaan rumah teres diselesaikan kerana lebih 90 peratus telah bersetuju untuk berpindah dan kebanyakan mereka telah menagih untuk menduduki rumah tersebut.

“Ada juga yang fobia dan tidak sabar untuk berpindah kerana merasakan rumah yang didiami sekarang ini tidak selamat,” katanya.

Oktober tahun lalu, Penduduk Taman Permata, Dengkil memaklumkan pengambilan tanah di Ampar Tenang sudah diselesaikan lebih 50 peratus.

Namun masalah itu masih belum selesai sepenuhnya dan beberapa perbincangan dalam masa terdekat perlu dilakukan.

Penduduk juga sebelum ini masih menagih janji mengenai isu pengambilan tanah yang disifatkan masih belum diselesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.