Katanya, usul tidak ada kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ditolak atas dua alasan; bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebab mempertikaikan kuasa Peguam Negara; dan Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kedudukan jawatan Peguam Negara.
“Saya mendapati alasan yang diberikan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tepat dan merupakan salah tafsiran usul.
“Usul saya memang mengkritik keputusan-keputusan Peguam Negara membubarkan Pasukan Petugas Khas Peringkat Tertinggi 1MDB, menutup siasatan Bank Negara dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan terhadap derma RM2.6 bilion sebagai keputusan tidak munasabah serta tidak bertanggungjawab.
“Kesimpulan usul saya adalah Dewan Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat menolak usul tidak percaya dan mendesak kerajaan mengenakan hukuman kepada Peguam Negara kerana didakwa bersekongkol membersihkan nama Perdana Menteri daripada skandal RM2.6 billion.
Ahli Parlimen Parmatang Pauh itu menambah, budi bicara Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan prosiding di mahkamah yang diberikan di bawah Perkara 145 Perlembagaan bukan budi bicara yang muktamad dan prinsip ini ditetapkan dalam keputusan mahkamah.
Wan Azizah turut melahirkan kekecewaan terhadap Pandikar Amin yang menurut Presiden PKR itu harus membenarkan usul yang membabitkan dana awam, reputasi Perdana Menteri dan imej negara dibincangkan dalam Dewan Rakyat atas prinsip demokrasi berparlimen.
“Keputusan ini akan melemahkan lagi fungsi Parlimen sebagai institusi bebas dan berkecuali daripada pihak eksekutif yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia,” katanya.
