Rizab Orang Asal ‘dirampas’, dijadikan pusat pelupusan sampah

Rizab Orang Asal ‘dirampas’, dijadikan pusat pelupusan sampah

Orang Asal Sungai Melut mendakwa tanah rizab pertanian mereka diambil gengster untuk dijadikan tapak pelupusan sampah.

video

SEPANG:
Busuk, memualkan dan menyedihkan! Itulah gambaran yang boleh diberi terhadap Kampung Orang Asli Sungai Melut yang terletak di sini.

Kira-kira 250 Orang Asal Sungai Melut merintih apabila tanah pertanian yang dirizabkan untuk mereka diambil sewenang-wenangnya untuk dijadikan tapak pelupusan sampah.

Akibatnya, pelbagai tanaman dan hasil pertanian musnah sekali gus mencemarkan kampung malang itu dengan bau busuk, sampah sarap, sisa pepejal bahan binaan serta pencemaran air dan udara.

Penduduk mendakwa, tanah rizab Orang Asal terbabit ‘dirampas’ gengster untuk dijadikan tapak pelupusan sampah dan mengaut keuntungan luar biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Orang Asli Sungai Melut, Johan Mat, mendakwa penduduk penduduk beberapa kali cuba menutup tapak pelupusan sampah yang diwujudkan atas tanah rizab pertanian mereka.

“Bagaimanapun, kami diugut dengan pelbagai senjata, termasuk parang dan senjata api oleh kumpulan samseng ini menyebabkan penduduk kampung ketakutan.

“Kami mahukan semula tanah kami untuk tujuan pertanian, tetapi gengster sudah pegang tanah rizab Orang Asal kampung kami,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT di sini, baru-baru ini.

Johan berkata, rizab pertanian Orang Asal itu mula dijadikan tapak pelupusan sampah pada tahun 2014, menyebabkan ramai Orang Asal Sungai Melut hilang mata pencarian.

Ditanya sama ada pernah membuah laporan polis dan pihak berkuasa lain, Johan berkata, penduduk takut untuk berbuat demikian kerana sudah diugut oleh gengster yang mengawal tapak pelupusan sampah itu.

Tinjauan FMT ke lokasi mendapati, kawasan kampung itu tercemar teruk dengan keadaan jalannya kotor kerana lori membawa sampah sering keluar masuk.

Pemerhatian mendapati, kawasan tapak pelupusan sampah itu juga ditutup supaya tidak dapat dilihat orang luar yang melalui kawasan itu.

Pada masa sama, selain Orang Asal kampung itu yang berhadapan dengan bau busuk, pencemaran bau turut menggangu penduduk di sebuah taman perumahan baharu di Sungai Melut.

Semakan menerusi Google Maps mendapati, luas keseluruhan pusat pelupusan sampah itu dianggarkan kira-kira empat hektar dan terletak bersebelahan Sungai Langat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.