Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki, berkata dua suspek lelaki berusia 41 dan 31 tahun itu ditahan petang semalam, di ibu pejabat SPRM selepas dipanggil memberi keterangan.
Pegawai berusia 41 tahun itu sebelum ini berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kira-kira sebulan lalu, katanya kepada BERNAMA, di sini, semalam.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan dan penahanan tidak melibatkan sebarang rampasan.
Dalam pada itu, Azam berkata, tempoh tahanan reman lelaki yang disyaki dalang sindiket itu bersama-sama tujuh yang lain akan disambung selepas tempoh reman mereka berakhir hari ini.
Sementara seorang wanita yang ditahan reman bersama-sama tujuh individu itu akan dibebaskan dengan jaminan, katanya.
Jumaat lalu, SPRM menahan sembilan orang, termasuk seorang setiausaha bahagian kementerian yang dikatakan menerima suapan dianggar mencecah RM20 juta.
Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama-sama lapan individu itu ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
-BERNAMA
