Beliau berkata, sekiranya ada keperluan untuk membatalkan sebahagian gazet hutan simpan itu bagi tujuan pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya, ia akan digantikan semula.
“Hari ini kita sudah melepasi sasaran yang ditetapkan apabila kira-kira 31.56% (hutan simpan) dikekalkan di negeri ini.
“Tetapi ini tidak bermakna kita akan meneroka ataupun membenarkan aktiviti pembalakan kerana kita mahu memelihara alam sekitar dan ekosistem negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang mati terkena tembakan seorang anggota polis enam tahun lepas, di sini, hari ini.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan penduduk Damansara Perdana baru-baru ini terhadap projek Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), kerana mendakwa pembinaan lebuh raya itu akan membatalkan gazet hutan simpan di kawasan berkenaan.
Lebuh raya DASH sepanjang 47 kilometer bernilai RM4.2 bilion itu antara projek diumumkan dalam Bajet 2015.
– BERNAMA
