Dalam kusut masai mereka berlari-lari ke van putih Cikgu Revathy. Nak bersekolah perlu bersungguh, jangan lambat, jangan gaduh. Lagipun, ada lagi kanak-kanak yang menunggu Cikgu Revathy.
Hampir setiap hari Cikgu Revathy Karunanithi membuat dua kali pemanduan untuk membawa 12 orang kanak-kanak daripada keluarga bermasalah, miskin tegar dan tidak berpendidikan ke tadika kelolaannya.
Lantaran kesempitan hidup, kanak-kanak ini tercicir ke tadika. Ibu-bapa mereka juga tidak mempunyai kesedaran tentang manfaat pendidikan awal untuk anak-anak.
“Keluarga tersebut hanya tergerak untuk menghantar anak-anak mereka selepas kanak-kanak berusia 6 tahun. Itupun, ada yang dipaksa,” kata Revathy ketika ditemui FMT, menceritakan latar-belakang murid-muridnya.
“Mereka dua tahun terkebelakang berbanding kanak-kanak lain yang masuk tabika seawal usia 4 tahun. Jadi saya kena pastikan mereka tidak ponteng sekolah,” katanya yang memandu keluar rumahnya pada pukul 6.30 pagi untuk mengambil kanak-kanak yang tinggal sejauh kira-kira 30 hingga 40 minit dari tadikanya, Tadika Minda Pintar Cemerlang di Taman Muara Esbee, Jeram.
“Sebahagian besar daripada mereka datang ke sekolah dengan perut kosong. Ada pula ibu bapa yang enggan hantar anak kerana tiada makanan. Saya beritahu mereka, ‘hantar sahaja, makan minum tanggungjawab saya’.”
Di sekolah, Revathy akan memeriksa kebersihan kanak-kanak ini. Kuku perlu bersih. Rambut disikat rapi. Pakaian mesti kemas dan kasut putih. Paling penting, mereka semua diberi makan roti serta minuman sebelum memulakan sesi pembelajaran.
“Sebaik tiba sekolah, kanak-kanak lain (bukan daripada keluarga bermasalah) akan ditempatkan di tempat duduk masing-masing, di beri buku atau permainan sementara saya periksa kanak-kanak yang dibawa oleh saya. Mereka perlukan perhatian setiap hari,” kata wanita yang berusia 35 tahun itu.
Wanita ini mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan sedang melanjutkan pengajian Ijazah keduanya dalam bidang Pendidikan Awal. Dia mengambil keputusan untuk membuka tadika pada tahun 2002 selepas terkesan secara peribadi dengan nasib kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan awal ekoran tiada kesedaran di pihak ibu-bapa.
Menurut Revathy, kawasannya di Jeram mempunyai dua sekolah aliran Tamil yang menawarkan pendidikan pra-sekolah tetapi masing-masing mempunyai satu kelas dengan 25 kanak-kanak untuk setiap kelas. Selebihnya, yang tidak mampu, mengambil keputusan tidak ke sekolah. Bagi mereka yang tak mampu tanggung pengangkutan juga mengambil keputusan sama.
Revathy melihat salah-satu peranannya adalah mempersiapkan kanak-kanak ke sekolah kebangsaan vernakular berbahasa Tamil. Dalam pada itu, memujuk ibu-bapa supaya bersetuju menghantar anak masing-masing ke tadika merupakan cabaran awal. Seterusnya adalah memastikan anak-anak keciciran ini terus bersekolah.
“Ada ibu bapa yang tidak menghantar anak kerana belum bayar yuran tadika selama beberapa bulan. Itu pun, saya minta mereka hantar sahaja. Saya cuma beritahu mereka, bayar bila ada duit, sementara itu, jangan gadai pendidikan awal,” terang Revathy kepada FMT.
Selain rutin paginya itu, Revathy juga memastikan kanak-kanak dari keluarga tidak berkemampuan ini pulang dengan perut kenyang. Dia bukan sahaja menyediakan pengangkutan percuma tetapi turut menyediakan makan tengah hari.
“Saya beri mereka makanan ringgan alas perut supaya mereka tidak pulang dengan perut kosong. Saya tidak masak kerana ia memerlukan prosedur tertentu, jadi saya beli sahaja makanan seperti thosai, roti canai, chapati atau nasi goreng dari restoran terdekat dan suap mereka sebelum hantar pulang,” jelasnya.
“Ibu bapa kanak-kanak berkemampuan yang sedar tentang status kanak-kanak di tadika saya akan memberi makanan tambahan. Saya pupuk kanak-kanak lain supaya berkongsi makanan seperti mana yang dipesan oleh ibu bapa mereka,” katanya yang bersyukur dengan sikap sesetengah ibu bapa yang peramah dan murah hati.
Bagaimana pula dengan bantuan kerajaan? Revathy berkata pihak kerajaan dan jabatan pendidikan ada menyediakan bantuan namun baginya, pokok permasalahan ini ialah tahap kesedaran dalam kalangan ibu-bapa, dan taraf sosio-ekonomi keluarga tersebut.
“Saya harap pihak tertentu boleh membantu keluarga ini, pupuk kesedaran dan mungkin beri bantuan dari segi peluang pekerjaan atau menaja kanak-kanak ini. Mujur kerajaan mewajibkan kanak-kanak mengikuti pra-sekolah sebelum ke Tahun 1, jadi ia juga antara faktor yang menyebabkan ibu bapa ini menghantar kanak-kanak ke sekolah pendidikan awal,” katanya.
Setiap kali menghantar kanak-kanak pulang dengan van putihnya itu, Revathy hanya mempunyai satu pesanan kepada mereka, iaitu ‘esok mesti datang sekolah!’.
