Tony Pua bertegas mahu Khalid minta maaf

Tony Pua bertegas mahu Khalid minta maaf

Ketua Polis Negara patut mohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid kerana mahkamah telah dapati beliau bersalah dari segi kesalahan awam

tony-pua,khalid

KUALA LUMPUR:
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua tetap dengan pendirian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu membuat permohonan maaf kepada keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis enam tahun lalu.

Tony Pua menyatakan demikian selepas beliau hadir di Bukit Aman, hari ini, bagi diambil keterangan selepas didakwa memutar belit kenyataan berhubung kes itu.

Tony Pua turut memuat naik artikel bertajuk ‘IGP refuses to apologise to Aminulrasyid’s family’ menggunakan akaun Twitternya.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Mac lalu mengarahkan empat individu termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membayar saman kepada keluarga Aminulrasyid berjumlah RM414,800.

Susulan itu, Khalid, yang menjadi Ketua Polis Selangor ketika kejadian mengarahkan Tony Pua disiasat kerana membuat kenyataan mengelirukan rakyat.

“Saya telahpun beri kerjasama penuh kepada polis dan antara soalan ditanya polis adalah seperti ‘adakah saya rasa Ketua Polis Negara perlu minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid?.

“Saya jawab memang beliau (Khalid) patut mohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid kerana mahkamah telah dapati beliau bersalah dari segi kesalahan awam,” kata Tony Pua kepada media di luar Bukit Aman selepas sejam dirakam keterangan.

Polis juga telah mengarahkannya menyerahkan telefon bimbit bagi tujuan siasatan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 122 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam perkembangan lain, Tony Pua berkata, polis juga patut menyiasat kes yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti yang dilaporkan oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC) dengan segera.

“Saya telah beri kerjasama penuh dengan polis. Saya harap polis juga buat siasatan berbangkit termasuk laporan ABC semalam bahawa Perdana Mentei telah guna wang daripada SRC International untuk membiayai Hotel Shangri-La, kereta mewah dan semua terkandung dalam laporan ABC.

“Kita harap polis bebas siasat dan buat temujanji cepat dengan Perdana Menteri,” katanya.

ABC melaporkan, jutaan ringgit dari akaun Ambank yang kononnya dimiliki oleh Najib dibelanjakan untuk pembelian barangan kemas, percutian, kereta mewah dan kempen politik.

ABC dalam laporan itu turut memperincikan transaksi akaun di Ambank di bawah kod nama ‘Mr X’ yang dakwa milik Perdana Menteri.

Rekod perbankan itu diperolehi oleh wartawan program Four Corners tetapi laporan berkenaan tidak mendedahkan sumber rekod berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.