Tunjuk semua dokumen penjualan tanah Taman Manggis! – Gerakan

Tunjuk semua dokumen penjualan tanah Taman Manggis! – Gerakan

Terdapat perbincangan untuk membina kuarters kerajaan di tanah itu pada ketika itu namun, itu hanya dalam tahap perbincangan dan belum ada keputusan muktamad.

Oh-Tong-Keong

GEORGE TOWN:
Gerakan hari ini menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang supaya mengemukakan semua dokumen berhubung penjualan tanah di Taman Manggis, yang dikatakan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin telah dilulus untuk pembinaan PPRT fasa kedua oleh kerajaan negeri Pulau Pinang semasa di bawah pimpinan Barisan Nasional.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang telah menjual tanah itu, sepatutnya mengemukakan semua dokumen mengenai penjualan tanah itu dan bukannya cuma membuktikan kerajaan BN yang menukar pembangunan projek berkenaan.

“Saya diberitahu memang terdapat perbincangan untuk membina kuarters kerajaan di tanah itu pada ketika itu namun, itu hanya dalam tahap perbincangan dan belum ada keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencabar Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo untuk mendedahkan semua dokumen berhubung penjualan tanah berkenaan.

“Sama ada tanah ini dibina PPRT atau kuarters kerajaan ketika pimpinan BN, tanah itu masih milik kerajaan negeri. Tetapi hari ini, kerajaan DAP telah menjual tanah itu kepada pihak swasta untuk pembangunan komersil,” katanya.

Oh, yang juga Pengerusi BN Tanjong, berkata Fasa pertama PPRT Taman Manggis mempunyai 320 unit rumah telah disiapkan manakala fasa kedua membabitkan 272 unit rumah tidak sempat dilaksanakan oleh kerajaan BN selepas kalah dalam pilihan raya umum 2008.

Beliau mendakwa selepas DAP mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, tanah seluas 0.45 hektar itu dijual kepada syarikat swasta untuk pembinaan bangunan setinggi 30 tingkat yang mengandungi 19 tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat tempat letak kereta.

Isu tanah Taman Manggis mendapat perhatian apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada Dewan Rakyat meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui PPRT.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.