Kerajaan gubal dasar atasi kemelut teksi – Najib

Kerajaan gubal dasar atasi kemelut teksi – Najib

Kerajaan sedang meneliti cadangan bagi menangani kemelut teksi bermeter yang terjejas akibat persaingan Uber dan GrabCar yang mengguna aplikasi telefon pintar.

najib teksi

KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mengumumkan dasar yang adil dan saksama dalam kemelut teksi dan kereta sapu Uber dan GrabCar dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang meneliti cadangan bagi menangani dua isu utama kemelut itu, iaitu pendapatan dan kebajikan pemandu teksi dan Uber serta GrabCar yang menggunakan aplikasi telefon pintar.

“Saya faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan di kalangan pemandu teksi disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan pemandu kereta Uber dan GrabCar yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.

“Terdapat pelbagai faktor yang kerajaan perlu pertimbangkan dalam hal ini seperti elemen inovasi, persaingan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di blog rasminya, najibrazak.com.

Pada 29 Mac lalu, seluruh Jalan Bukit Bintang terhenti apabila dihalang kira-kira 100 teksi di sepanjang jalan itu dalam satu protes terhadap Uber dan GrabCar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mempercepat proses pengawalan Uber dan GrabCar agar pemandunya perlu mematuhi syarat antaranya mendapatkan lesen bagi kenderaan komersial dan membuat pemeriksaan di Puspakom.

Najib juga menegaskan, kerajaan akan mengambil kira kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan dalam merangka penyelesaian kemelut tersebut.

“Dalam era serba canggih dan berinovasi ini, kita perlu bersedia untuk menerima dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Persaingan mesti juga dilihat sebagai batu loncatan dan bukan halangan agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.