Kevin tak pernah siasat PM, 1MDB – SPRM

Kevin tak pernah siasat PM, 1MDB – SPRM

Abu Kassim berkata Kevin tidak pernah terbabit menulis mana-mana draf kertas pertuduhan berkaitan 1MDB atau Perdana Menteri.

kassim-mohamed_Anthony-Kevin_1mdb_600

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menegaskan Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais tidak pernah terbabit dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim, berkata perkara itu sudah dua kali dimaklumkan oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, iaitu pada Sept dan Dis 2015.

Katanya, Kevin tidak pernah terbabit sebarang siasatan berkaitan 1MDB atau Datuk Seri Najib Razak.

“Kami mahu menegaskan bahawa SPRM tidak pernah mendapatkan nasihat daripada Kevin dalam dua kes siasatan yang didakwa dikaitkan dengan Perdana Menteri.

“Kevin dipindahkan keluar daripada SPRM pada Julai 2014, setahun sebelum siasatan mengenai 1MDB dimulakan, tidak pernah menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abu Kassim berkata, Kevin tidak pernah terbabit menulis mana-mana draf kertas pertuduhan berkaitan 1MDB atau Perdana Menteri.

Katanya, sebarang kenyataan berhubung perkara itu yang didapati tidak selaras adalah tidak benar.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk pemimpin pembangkang menimbulkan spekulasi berhubung insiden pembunuhan Kevin.

Ia termasuk mengaitkannya dengan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri yang viral di media sosial dan mendakwa Kevin terbabit dengan siasatan 1MDB.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.