LPT2 akan ditambah ciri mesra hidupan liar

LPT2 akan ditambah ciri mesra hidupan liar

133 kes kemalangan termasuk satu kes kemalangan maut membabitkan pencerobohan haiwan ternakan atau binatang liar dicatat bagi tempoh 1 Feb 2015 hingga 29 Feb 2016.

LPT2-highway
KUALA LUMPUR: Laluan di bawah jambatan dan terowong kenderaan (VBC) di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan ditambah baik dengan ciri-ciri mesra hidupan liar, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu dipersetujui bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu pada 16 Feb lepas.

“Lokasi terlibat sedang dikenal pasti oleh PERHILITAN Terengganu dan tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan oleh jabatan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang ingin tahu langkah untuk mengelakkan pencerobohan haiwan demi keselamatan pengguna di LPT2.

Menurut Rosnah, bagi tempoh 1 Feb 2015 hingga 29 Feb 2016, terdapat 133 kes kemalangan termasuk satu kes kemalangan maut membabitkan pencerobohan haiwan ternakan atau binatang liar dicatatkan di LPT2 sepanjang 180 kilometer itu.

Jelasnya, pencerobohan haiwan ternakan dan binatang liar itu berpunca daripada pagar rizab lebuh raya yang telah dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga membuka ruang haiwan tersebut menceroboh masuk.

Bagi mengatasi masalah tersebut kementerian telah meningkatkan kekerapan rondaan di sepanjang lebuh raya itu terutama di kawasan berisiko tinggi serta membaik pulih segera pagar rizab yang dirosakkan, katanya.

Rosnah berkata, pengedaran risalah kesedaran kepada penternak berhampiran lebuh raya, pemasangan papan tanda amaran dan peringatan kepada pemandu menerusi Papan Tanda Elektronik VMS serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu turut dilaksanakan.

Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.