1MDB lebih besar, isu Rosmah ‘shopping’ lantak pi lah – Khairuddin

1MDB lebih besar, isu Rosmah ‘shopping’ lantak pi lah – Khairuddin

Tajuddin Rahman diselar kerana tidak tahu isu mana yang patut diberi keutamaan dan menjadi perhatian rakyat negara ini.

Khairuddin-Abu-Hassan
PETALING JAYA: Isu kehilangan wang berbilion ringgit oleh syarikat 1MDB lebih besar berbanding isu Datin Seri Rosmah membeli belah, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Katanya, rakyat tidak mempersoalkan barapa jumlah wang yang diperuntukkan Datuk Seri Najib Razak untuk Rosmah berbelanja bagi memiliki beg tangan dan barang kemas, tetapi yang dipertikai adalah wang berbilion ringgit syarikat 1MDB yang diseleweng.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang mempertahankan Rosman berbelanja tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang timbalan menteri.

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan itu berkata, kenyataan Tajuddin juga menunjukkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak cerdik.

“Kita sedang bercakap mengenai berbelas billion wang syarikat 1MDB diselewengkan. Isu Rosmah Mansor (berbelanja) itu lantak lah kat dia. Nak shopping ker nak apa pun ikut suka dialah.

“Nanti di padang mashyar dia berjawablah dengan Allah swt sekiranya punca pendapatan itu dari sumber yang tidak halal.

“Yang rakyat dok pertikai ialah wang berbilion-bilion masuk akaun peribadi Najib Tun Razak, bos (Najib) Tajuddin Rahman ni pun tak pernah bagi jawapan secara telus dan konprehensif. Segala transaksi kewangan yang masuk akaun peribadi Najib amat mencurigakan.

“Kenapa Tajuddin tak cerdik sangat?,dah jadi timbalan menteri bukan main lama tak naik-naik pangkat walaupun kuat membodek dan dalam masa yang sama tak faham isu kemelut politik mutakhir di negara kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Khairuddin mengingatkan Tajuddin supaya tidak memperbodohkan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal kerana itu akan menambahkan lagi kemarahan rakyat.

Semalam, Tajuddin ketika ditemui pemberita di Parlimen berkata, tiada masalah sekiranya Rosmah memiliki beg tangan dan barang kemas jika beliau mampu, malah menyifatkan Najib dan isteri Perdana Menteri individu yang tidak boros.

Tajuddin berkata demikian mengulas laporan The Wall Street Journal yang mendakwa Najib dan keluarganya membelanjakan AS$15 juta untuk percutian, membeli-belah dan barangan kemas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.