
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ahli UMNO tidak boleh persoalkan betul atau tidak (Najib terima dana) kerana negara ini tidak ada undang-undang melarang parti politik menerima dana atau derma.
Katanya, pemimpin UMNO hanya perlu menjelaskan setakat apa yang perlu dijelaskan kepada ahli UMNO kerana ia melibatkan isu dana pilihan raya atau dana politik.
“Kalau kita nak mempersoalkan keseluruhan dana politik dalam keadaan musuh kita (pembangkang) tidak berbuat demikian, ia adalah tindakan tidak bijak,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.
Isu dana RM2.6 bilion menjadi ‘senjata’ kepada pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerang kepimpinan Najib di mana dana itu dikaitkan dengan 1MDB yang menangung hutang RM42 bilion.
Najib juga berkali-kali menegaskan dana RM2.6 bilion bukan dana rakyat tetapi sumbangan negara luar kepada UMNO.
Pada 26 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendedahkan Najib telah memulangkan baki RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion kepada penderma, keluarga Diraja Arab Saudi.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, UMNO tidak menafikan Barisan Nasional (BN) akan ada gabungan baru atau kerjasama dengan pihak lain untuk memperkuatkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kita tidak boleh nafikan pakatan yang sedia ada (BN) mungkin tidak dapat bertahan untuk lagi dua tahun (pilihan raya dijangka 2018). Ia mungkin berubah kerana tempoh dua tahun jangka masa yang lama dalam politik,” katan Ahli Parlimen Ketereh itu.
Dalam temubual bersama Sinar Harian itu, Annuar menjelaskan, ekonomi negara paling baik di bawah pentadbiran Najib berbanding Presiden-preisden UMNO sebelum ini.
Beliau memberi contoh ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981, ekuiti Bumiputera pada tahap 18.7 peratus dan peratusan itu tidak berubah sehingga Dr Mahathir bersara pada 2003.
“Tidak ada sebarang peningkatan dalam tempoh 22 tahun. Malah beliau (Dr Mahathir) menangis atas pentas, kata tidak berjaya membantu orang Melayu tetapi beliau pandai pusing cerita dan letak kesalahan pada orang Melayu.
“Kalau kita nak pusing cerita dia pula, nak salahkan kaum Melayu buat apa? Dia yang jadi Presiden untuk 22 tahun,” katanya sambal menambah, ekuiti Bumiputera di bawah pentadbiran Najib berada pada tahap 24 peratus.