Kementerian kaji laporan salahguna BB1M

Kementerian kaji laporan salahguna BB1M

BB1M diperkenalkan untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku bagi pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta oleh kerajaan.

idris jusoh

PETALING JAYA:
Ekoran pendedahan salah guna Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), satu kajian dan tinjauan menambah baik pelaksanaan sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata hasil kajian dan tindakan susulan akan diumumkan tahun hadapan.

“Kita masih sedang mengkaji dan tahun hadapan, kita akan lihat jenis tindakan yang perlu dilaksanakan,” katanya mengulas laporan penyalahgunaan BB1M ketika ditemui pemberita selepas penutupan program ‘Jom Masuk IPT’ di Universiti Kebangsaan Malaysia, lapor Bernama.

Beberapa hari lepas, akhbar The Star Online melaporkan pelajar bertindak menjual BB1M bernilai RM250, pada harga yang lebih rendah iaitu sekitar RM190 hingga RM230 kepada pekedai buku.

BB1M diperkenalkan untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku bagi pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta oleh kerajaan selain menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu beliau turut mengulas tentang program ‘Jom Masuk IPT’, yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan orang ramai khususnya mendapatkan maklumat tentang peluang yang terdapat di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian tinggi swasta dan pusat kemahiran di seluruh negara.

“Program ini juga membolehkan pelajar mengetahui kursus-kursus yang ada dan boleh berjumpa dengan pegawai mendapatkan penjelasan mendalam serta cara permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi berkenaan,” katanya.

Dilaporkan, sebanyak 300,000 pelajar telah memohon untuk masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak permohonan dibuka Januari lepas. Permohonan UPU akan ditutup pada Selasa ini (5 April).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.