
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya berkata, mereka boleh ditahan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) dan PDRM bertegas dalam perkara berkenaan.
“APA juga melarang sebarang protes jalanan dan penganjur bersedialah untuk berhadapan tindakan tegas,” tulisnya di Twitter@KBAB51.
Menurut Khalid, penahanan Rafizi adalah berlandaskan undang-undang dan polis menyerahkannya kepada Peguam Negara dan mahkamah untuk membuat keputusan.
Rafizi yang merupakan Ahli Parlimen pembangkang ditahan di hadapan Parlimen kira-kira jam 6.20 petang Selasa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Ketika ditahan Rafizi dikatakan dalam perjalanan mahu mengambil anaknya di pusat jagaan kanak-kanak ekoran isterinya tidak dapat berbuat demikian ekoran turut bekerja.
Semalam, Ahli Parlimen pembangkang merancang mahu berarak dari bangunan Parlimen ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini untuk membantah penahanan Rafizi.