Gelaran ‘syaitan’ undang permusuhan antara agama

Gelaran ‘syaitan’ undang permusuhan antara agama

MAIS menasihatkan penganut Islam dan bukan Islam mengelak daripada menggunakan gelaran buruk terhadap penganut agama lain.

Mohamad-Adzib-Mohd-Isa__zakir-naik_600

PETALING JAYA:
Memanggil atau melabel penganut agama lain dengan gelaran buruk seperti ‘syaitan’ boleh mengundang perasaan benci dan juga permusuhan antara agama.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Agama Islam (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, semua pihak perlu mengelak daripada membuat kesilapan itu.

“MAIS menyeru semua pihak sama ada Islam dan bukan Islam agar dapat mengekalkan keharmonian beragama ini termasuklah dalam penganjuran program keagamaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohamad Adzib, MAIS juga menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia yang k membenarkan Dr. Zakir Naik meneruskan ceramah beliau di Melaka pada 17 April ini.

“MAIS percaya bahawa ceramah yang akan disampaikan oleh Dr. Zakir Naik adalah bersifat akademik untuk memberi penerangan kepada masyarakat umum dan bersoal jawab berhubung aspek perbandingan agama,” katanya lagi.

Katanya, MAIS sentiasa mendukung dan memartabatkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan MAIS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang mencabar kedudukan Islam di negara ini khasnya di Negeri Selangor.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy dalam status Facebooknya bertindak menggelar pendakwah yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada 2013 itu sebagai ‘syaitan

Bagaimanapun, Ramasamy telah memadam perkataan itu dan memohon maaf.

Pemimpin dan NGO bukan Islam membantah syarahan Zakir Naik di Melaka kerana topik perbincangan boleh menghina agama lain.

Kerajaan bagaimanapun membenarkan syarahan itu diteruskan tetapi syarahan ditukar kepada Hak Wanita Dalam Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.