Saya pernah berlumba beratus kilometer demi pingat plastik

Saya pernah berlumba beratus kilometer demi pingat plastik

Azizulhasni mempertahankan pemberian wang 'ciput' yang diberikan kepada pemenang program Junior Cycling Malaysia, Sabtu lalu

Azizulhasni

PETALING JAYA:
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mempertahankan pemberian wang ‘ciput’ yang diberikan kepada pemenang program Junior Cycling Malaysia (JCM) anjuran Kementerian Belia dan Sukan, melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Sabtu lalu.

Berkongsi pembabitannya di dalam arena sukan berbasikal negara, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman memaklumkan, beliau pernah berlumba beratus kilometer di bawah cuaca panas terik sekadar untuk memenangi pingat plastik.

Azizulhasni berkata, ketika berada di peringkat junior, banyak perlumbaan yang disertainya tidak menawarkan hadiah lumayan, tetapi beliau tetap berlumba, bukan demi hadiah, tetapi untuk memenangi perlumbaan.

“Saya pernah berbekalkan wang hanya RM50 pemberian ibu untuk pergi berlumba di Sungai Buloh selama seminggu.

“Ketika saya dipilih ke program Elite dan berlatih di Melbourne pada 2007, saya berlumba setiap hujung minggu dengan pelumba-pelumba tempatan dan wang kemenangan yang saya terima hanyalah AUD50 untuk tempat pertama bagi kategori Elite.

“Malah, apabila saya sudah berada di ‘World Level’ dan bergelar pelumba nombor satu dunia, hadiah kemenangan yang ditawarkan dalam ‘Track Cycling’ di setiap kejohanan tidaklah lumayan, jika dibandingkan dengan sukan-sukan lain,” tulisnya di laman Facebook beliau.

Pelumba berusia 28 tahun itu menegaskan, wang ringgit, pingat dan pujian merupakan motivasi ekstrinsik yang memberikan rangsangan luaran adalah bagus, namun ia tidak memberikan rangsangan kekal dan mempunyai had tertentu.

“Jika kita berlumba ataupun bersukan untuk kemenangan, untuk meningkatkan kemahiran diri dan skil, untuk menjadi lebih bagus dan menikmati aktiviti tersebut, ianya adalah motivasi intrinsik.

“Motivasi intrinsik bersifat lebih panjang, memberikan rangsangan dalam jangka masa yang lama, tidak mudah pudar dan hilang,” katanya.

Azizulhasni berkata, motivasi intrinsik dan ekstrinsik itulah yang menjadi penghalang serta perbezaan untuk seseorang atlet pergi lebih jauh di dalam bidang sukan mahupun apa jua pekerjaan.

Program JCM menjadi bahan jenaka di laman sosial, apabila pemenang bagi kategori 15 tahun sekadar menerima pingat dan wang tunai RM50, naib juara (RM40), manakala tempat ketiga mendapat RM30 berserta pingat.

Sementara untuk kategori 13 tahun pula, juara menerima pingat dan wang tunai RM40, tempat kedua RM30 dan tempat ketiga serta keempat masing-masing mendapat RM20 berserta pingat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.