Kanak-kanak dilarikan pembantu rumah

Kanak-kanak dilarikan pembantu rumah

Kehilangan kanan-kanak itu disedari ibu bapanya kira-kira jam 5.30 pagi hari ini di rumahnya di SS19.

Farah Nilofer Jamaludin

KUALA LUMPUR:
Polis giat menjalankan usaha mencari seorang pembantu rumah warga Indonesia yang hilang bersama seorang kanak-kanak berusia antara 11 atau 12 tahun.

Kehilangan kanak-kanak berkenaan menjadi viral, apabila ia disebarkan menerusi Facebook SJ Echo.

“Ia berlaku pada awal pagi ini. Ibu bapa menyedari kehilangan kanak-kanak berkenaan sekitar jam 5.30 pagi dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan isu ini,” tulis pengendali laman Facebook itu.

Menurut laporan China Press, pasangan suami isteri berbangsa Melayu itu pada mulanya ternampak pembantu rumah terbabit merayau-rayau di sebuah stesen bas, semalam.

Selepas mendapat tahu dia melarikan diri daripada majikannya, mereka memutuskan untuk membenarkan wanita itu bermalam di rumah mereka.

Namun, tanpa diduga, niat baik mereka dibalas dengan kejahatan, apabila anak mereka yang kelainan upaya, didapati hilang bersama wanita itu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi FMT mengesahkan laporan kehilangan kanak-kanak itu telah dibuat dan pihaknya sedang menjejaki pembantu rumah tersebut.

Menurut beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi jenayah culik.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Raja Mazurah Mikaish berkata, anak kecil itu adalah anak saudaranya.

“Maid tersebut lari dari rumah dan tinggalkan surat. Kejadian disedari 5.30 pagi tadi. Mereka (keluarga) tinggal di Subang Jaya SS19,” kata Raja Mazurah.

FMT cuba menghubungi nombor yang disenaraikan dalam catatan orang hilang itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Seorang lelaki yang mengaku dirinya saudara kepada ibu bapa anak kecil itu memberitahu FMT bahawa pihak keluarga telah dimaklumkan oleh polis untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sementara siasatan dijalankan.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi balai polis berhampiran, atau Balai Polis Subang Jaya di talian 03-56332222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.