Pemula tersebut, Azrul Mohd Khalid dipanggil ke IPD Petaling Jaya hari ini dan telefon bimbit serta komputer riba miliknya dirampas supaya siasatan boleh diteruskan.
Petisyen ‘Quit! Undur!’ itu menyatakan sokongan kepada Deklarasi Rakyat yang ditandatangani pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan dan pemberontak UMNO dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Setakat berita ini ditulis, petisyen itu telah mengumpul 51,006 tandatangan. Azrul dalam catatan 18 April mengumumkan bahawa jumlah terkumpul tandatangan dalam talian dan fizikal sudah mencecah 220,000 orang.
Penggerak Deklarasi Rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat menghantar satu juta tandatangan Ke Majlis Raja-raja.
Peguam Lawyers for Liberty, Melissa Sasidaran, yang bersama Azrul ketika itu memberitahu FMT, Azrul disiasat bersama tujuh individu lain, termasuk ketua editor dan wartawan bagi kes yang sama.
Antara kesalahan yang dinyatakan di bawah Seksyen 4(1), termasuk melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua bagi kesalahan pertama, atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan yang kemudian, sekiranya disabit kesalahan.
