Menurutnya, sekiranya RCI ditubuhkan, siasatan mengenai kontroversi syarikat milik Kementerian Kewangan itu dapat dijalankan secara menyeluruh.
“Sebab itu Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan, kerana mereka mempunyai mandat untuk menyiasat sesiapa yang terlibat dan laporkan kepada Agong terus,” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA, hari ini.
Katanya lagi, laporan yang dibuat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sudah tidak boleh dipercayai rakyat lagi memandangkan Pengerusi PAC, Datku Hasan Arifin mengakui laporan itu telah disunting.
“Malu kita apabila laporan PAC tidak lengkap. Orang dah tak terima laporan mereka kerana PAC sendiri sudah kena ‘sunting’,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut, Azrul juga menyatakan dokumen laporan PAC tidak perlu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) memandangkan ia sudah menjadi kepentingan awam.
“Ada isu yang sepatutnya didedahkan, sebab ia dah jadi kepentingan umum. Kerajaan tidak sepatutnya meletakkan isu ini di bawah OSA.
“Tetapi benda-benda yang melibatkan keselamatan negara, contohnya aset strategik negara seperti lapangan terbang tentera, yang itu tidak perlu didedahkan, pembelian senjata, itu boleh diletakkan di bawah OSA,” ujarnya.
