Manifesto tersebut mengandungi 15 janji kerajaan negeri untuk mengubah Sarawak menjadi negeri maju dan rakyat boleh menikmati kualiti hidup lebih baik.
“Manifesto kami mempunyai dua bahagian. Pertama ialah janji-janji kami kepada rakyat dan kedua pencapaian kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini.
Antara janji-janji dalam manifesto itu termasuk menegakkan hak-hak Sarawak dan rakyatnya, untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio ekonomi di negeri itu dan juga mengekalkan budaya, warisan serta kepercayaan Sarawak.
Presiden PBB itu juga berjanji akan terus menjamin hak-hak rakyat ke atas tanah mereka, menyediakan rumah mampu milik buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.
Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu menegaskan, bagi menjaga keamanan dan keharmonian negara, beliau akan memastikan tiada unsur-unsur negatif mendekati Sarawak.
“Kita tidak akan teragak-agak menggunakan undang-undang imigresen untuk memastikan Sarawak bersih daripada sebarang unsur negatif.”
Baru-baru ini, beberapa pemimpin pembangkang serta individu daripada BN dihalang memasuki Sarawak untuk berkempen bagi PRN kali ini.
Antara pemimpin pembangkang yang disenaraihitamkan itu termasuk ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Dr Afif Bahardin, di samping Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos dan penulis blog Papagomo juga telah dilarang ke negeri ini.
Adenan sebelum ini berkata orang-orang dalam senarai hitam imigresen bebas memasuki Sarawak sebaik selesai PRN itu.
