“Bagi saya, ini tindakan tidak mengendahkan undang-undang secara terang-terangan dan semua pemimpin pembangkang sepatutnya dibenarkan berada di negeri ini, kerana inilah masa untuk pemimpin menyuarakan keprihatinan mereka.
“Saya agak terkejut, apabila mengetahui Jabatan Imigresen Sarawak telah meletakkan satu nota kecil yang saya perlu tinggalkan negeri ini menjelang 2 Mei,” katanya ketika turun padang ke Satok.
Timbalan Presiden PKR itu menambah, tiada alasan diberikan terhadap tindakan Jabatan Imigresen Sarawak itu.
“Malah, saya mahu kembali ke Sarawak pada 4 Mei dan tinggal di sini sehingga hari mengundi (7 Mei), tetapi saya tidak dibenarkan untuk kembali,” katanya.
Azmin berkata, demokrasi menetapkan semua pemimpin perlu dibenarkan menjejakkan kaki ke Sarawak.
“Kami adalah parti politik yang sah. Apakah sebab di sebalik pengharaman kami ke Sarawak? Undang-undang perlu dikaji semula oleh Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha PKR Sarawak, Lynette Tan berkata, sekatan yang dikenakan terhadap Azmin adalah satu bentuk penyalahgunaan undang-undang imigresen oleh Adenan demi kepentingan politiknya.
“Atas alasan apa dia halau pemimpin-pemimpin dan pekerja (pembangkang) Semenanjung keluar dari Sarawak, beberapa hari sebelum hari mengundi,” soalnya.
Lynette berkata, sebagai seorang peguam, Adenan sepatutnya tahu menggunakan “kuasa budi bicara” dalam melaksanakan larangan dan sekatan secara adil dan saksama.
“Penyalahgunaan undang-undang demi kepentingan BN adalah satu tindakan pengecut dan ia adalah gambaran buruk terhadap integriti Adenan,” katanya.
