Ahli Parlimen Klang hanya ada 24 jam di Sarawak

Ahli Parlimen Klang hanya ada 24 jam di Sarawak

Charles berkata, beliau tidak diberikan sebarang maklumat mahupun amaran dan hanya tahu mengenai perkara itu hari ini.

Charles-Santiago_sarawak_600

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang baru mendarat di Bintulu hari ini perlu meninggalkan Sarawak esok.

Beliau berkata, selepas tiba di Lapangan Terbang Bintulu pada jam 9 pagi tadi, seorang pegawai Jabatan Imigresen memaklumkan beliau perlu meninggalkan Bumi Kenyalang esok.

“Saya tidak diberikan sebarang maklumat mahupun amaran dan hanya mengetahuinya hari ini di pusat pemprosesan.

“Apabila saya tanya seorang pegawai kanan, jawapannya ialah beliau tidak boleh berbuat apa-apa, kerana ia adalah arahan pihak atasan,” katanya kepada FMT.

Charles adalah satu-satunya individu yang dihadkan berada di Sarawak selama 24 jam, manakala beberapa ahli parti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara yang tiba di Bintulu bersamanya bagaimanapun dibenarkan terus berada di negeri itu.

Ditanya apakah tindakan seterusnya, Charles berkata, “Kempen hari ini dan tinggalkan Sarawak esok.”

Selain Charles, pemimpin pembangkang lain seperti Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dihadkan tempoh untuk berada di Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dilaporkan sebagai berkata, Azmin dan Guan Eng boleh melanjutkan tempoh mereka berada di negeri itu, namun perlu menulis surat kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.