Tesis: UiTM nafi wujud unsur plagiat

Tesis: UiTM nafi wujud unsur plagiat

Hassan menekankan tidak wujud unsur plagiat dan hasil penuh siasatan akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Hassan-Said_uitm_bath_600

SHAH ALAM:
Tidak wujud sebarang unsur plagiat seperti yang didakwa sekumpulan bekas graduan University of Bath, United Kingdom susulan tesis mereka dikatakan dimuat naik dalam laman web perpustakaan digital Universiti Teknologi Mara (UiTM) tanpa kebenaran.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, hasil siasatan awal oleh pihak universiti itu mendapati isu berkenaan berpunca daripada perisian dan penakrifan berkaitan bahan bacaan yang dimuat naik ke perpustakaan digital berkenaan.

“Saya hendak tekankan di sini tidak wujud unsur plagiat dan hasil penuh siasatan akan diumumkan dalam beberapa hari lagi,” katanya pada Majlis 100 hari Pentadbiran Naib Canselor dan Konferensi Akademik 2016, hari ini.

Pada 29 April lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan 15 graduan University of Bath mendakwa UiTM mencuri harta intelek, selepas mendapati tesis mereka dimuat naik dalam laman web perpustakaan digital universiti itu, UiTM IR.

Daripada jumlah pelajar itu, empat orang merupakan bekas pelajar di bawah Program Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universty of Bath-Malaysia Institute of Management (MIM) 1994.

Dakwa mereka, tesis-tesis yang dihasilkan pada pertengahan 1990-an ketika mengikuti program Sarjana Pentadbiran Perniagaan antara kampus UK dengan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) tersebut, disiarkan dalam UiTM IR tanpa kebenaran.

Mereka juga mendakwa tesis-tesis yang dimuat naik itu mengandungi logo UiTM dan tanda hak ciptanya tanpa kebenaran mereka.

Pada Isnin lalu, UiTM menutup sementara laman web perpustakaan digital berkenaan untuk memberi ruang bagi siasatan terperinci.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.