Apa sahaja yang berlaku di Bumi Kenyalang adalah berita! Siapa sahaja yang meluahkan ketidakpuasan mereka di negeri itu, bakal didengari dan diselesaikan! Ke mana sahaja anda mahu pergi di dalam negeri seluas 124,450 km2 , pasti ada caranya!
Walau bagaimana sekalipun hubungan kita di Semenanjung dengan Sarawak sebelum ini, tetapi sejak beberapa minggu yang lepas Sarawak seolah-olah negeri yang paling Malaysia di Malaysia.
Semuanya kerana negeri paling besar di negara ini bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri, (PRN) ke-11 dan nampak sangat pilihan raya tersebut sangat penting buat masa kini. Ia bakal menjadi pra-penentu penerimaan rakyat terhadap parti politik dan turut menjadi menyumbang besar kepada PRU akan datang.
Di samping kempen dan lawatan oleh Perdana Menteri dan menteri-menterinya, buat julung kalinya, mesyuarat mingguan Kabinet Persekutuan diadakan di Wisma Bapa Malaysia, ibu pejabat pentadbiran kerajaan negeri Sarawak di Kuching. Ini menunjukkan keseriusan pembuat polisi dalam memastikan semua jentera politiknya bergerak dari negeri itu, sekurang-kurangnya hingga esok, 7 Mei.
Ia juga bukti kerancakan pilihan raya negeri Sarawak sehingga Perdana Menteri menyatakan mesyuarat tersebut diadakan kononnya untuk menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Sejak awal minggu ini pula, hampir semua menteri dikatakan sudah berkampung di negeri Sarawak sehingga kelibat mana-mana menteri termasuk pemimpin pembangkang tidak kelihatan di Semenanjung.
Apa yang beraku di Semenanjung Malaysia, paling gah pun isu Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman yang ditarik anugerahnya selain dilapor murka kepada Sultan. Ekoran insiden itu, Terengganu diberi ruang dalam berita mengikuti apakah bakal nasib menteri besar itu.
Selain itu, insiden di Semenanjung yang mengambil ruang sepanjang PRN Sarawak ialah apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan khidmat pengiring trafik ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditarik balik.
Apa lagi? Hari ini PAS mencuri sedikit ruang berita menerusi pemecatan Datuk Husam Musa sekaligus meletakkan beliau sebagai ADUN Salor wakil rakyat bebas. Sedikit sebanyak isu banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isu Taman Manggis mengaitkan wanita bernama Miss Phang dimainkan setelah sekian lama berehat. Selain itu, Semanjung agak ‘perlahan’ dan suram berbanding Sarawak.
Semua ini mengukuhkan lagi teori bahawa betapa PRN Sarawak kali ini sangat penting kepada semua, khususnya Barisan Nasional dan pasukan Adenan Satem dalam membentuk semula kuasa politik.
Anehnya, di Semenanjung seolah tiada masalah berat berlaku, tiada apa yang serius dibawa ke muka hadapan akhbar. Buat dua tiga hari yang lepas, tiada masalah ular, tiada kejadian histeria berterusan, tiada laporan isu sosial besar, nampaknya semua berehat memberi jalan kepada PRN Sarawak…
