Penganalisis Politik, Profesor Dr Jeniri Amir berkata, Adenan perlu berganding bahu dengan pemimpin baru dan lama bagi membentuk ‘team Adenan’ yang mantap.
“Adenan perlu mengandingkan pemimpin muda dan lama dari pelbagai etnik untuk menambat hati rakyatnya.
“Adenan tidak ada pilihan lain selain membentuk pasukan yang mantap agar janji-janji yang dibuat sebelum pilihan raya dapat ditunaikan.
“Jika tidak dapat ditunaikan, ia akan menghantui pasukan Adenan pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.
Sementara itu, Jeniri juga percaya rakyat Sarawak memahami keputusan penangguhan royalti minyak yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Rakyat Sarawak memahami situasi ini. Tidak guna kenaikkan royalti minyak ini dibangkitkan pada ketika harga minyak dunia jatuh,” katanya lagi.
Semalam, tepat pada jam lima petang, 1,754 pusat mengundi yang dibuka sejak lapan pagi semalam ditutup. Ia bermakna bermulanya proses pengiraan undi bagi menentukan kemenangan calon.
Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengumumkan peratusan rakyat Sarawak yang mengundi setakat jam empat petang adalah sebanyak 54 peratus. Jumlah tersebut masih kurang dari jangkaan asal iaitu sekitar 75 peratus.
Adenan berjaya membentuk Kerajaan dengan kelebihan dua pertiga apabil berjaya memperolehi 72 kerusi daripada 80 kerusi yang dipertandingkan.
