Pelajar dipijak warden tetap teruskan pelajaran

Pelajar dipijak warden tetap teruskan pelajaran

Pelajar itu telah diberikan kaunseling dan dinasihat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya serta tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

warden-pijak-pelajar

PETALING JAYA:
Pelajar yang dipercayai dipijak warden Ahad lalu tetap meneruskan pelajarannya di sekolah vokasional di Sungai Buloh itu.

Harian Metro memetik sumber Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) sebagai berkata, remaja lelaki itu telah diberikan kaunseling dan dinasihat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya serta tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

Menurut sumber itu, pelajar berusia 16 tahun terbabit sedang menduduki pentaksiran akhir semester.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan hari ini dilaporkan berkata, perkhidmatan warden itu digantung dua minggu sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar melalui Facebook Polis Selangor memaklumkan, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah membuat laporan polis pada pagi Isnin lalu.

Beliau turut mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang 3 Mei lalu di Asrama Kasih Kolej Vokasional Sungai Buloh.

“Pihak polis memandang serius perkara ini. Ekoran laporan yang dibuat, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid melalui Facebooknya memberitahu siasatan juga sedang dijalankan BPTV di bawah kementerian itu.

Video selama 1 minit 14 saat yang dimuat naik Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan ke Facebooknya Ahad lalu menunjukkan seorang lelaki dewasa berkopiah memijak seorang remaja lelaki yang dipercayai pelajar tingkatan empat sebelum remaja itu sempat menyalakan rokok di tangga.

https://www.facebook.com/540563426099321/videos/616273028528360/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.