China Press yang memetik penduduk setempat mendedahkan, suspek bersama anaknya berpindah ke rumah pangsa di Paya Terubong itu kira-kira lapan bulan lalu dan kejadian sama pernah berlaku sebulan lalu, tetapi kanak-kanak terbabit tidak dibogelkan ketika itu.
Menurut mereka, suspek pernah memukul mangsa dengan pemukul besbol, selain menghalau dan membiarkan anaknya merayau di luar rumah, kerana dipercayai nakal dan tidak pulang ke rumah dengan segera selepas sekolah.
Saksi yang juga penduduk di rumah pangsa itu, Michael Jin memberitahu pada jam 2.30 pagi Ahad lalu, beliau terdengar bunyi tangisan dari tingkat bawah.
Beliau kemudiannya turun ke tingkat bawah dan menemui seorang kanak-kanak berada di tangga dalam keadaan bogel sambil buku lali kirinya diikat dengan rantai anjing di tangga.
“Selepas menggunakan telefon bimbit merakamkan kejadian itu, saya pergi ke rumah mangsa. Bapa kanak-kanak itu keluar sambil memegang pemukul besbol, saya segera menyambar pemukul besbol itu.
“Ketika berhujah dengan dia, saya beritahu sudah mengambil gambar kejadian itu dan lebih baik dia melepaskan anaknya,” katanya.
Suspek kemudiannya membebaskan mangsa dan membawa anaknya masuk ke dalam rumah sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan, kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah jagaan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelasnya, suspek yang merupakan lelaki berbangsa Cina berusia 45 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah itu telah ditahan dan disoal siasat polis, selepas dia menyerah diri petang semalam.
Menurutnya, kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut selepas siasatan polis selesai.
Kejadian itu didedahkan susulan gambar dan video yang dimuat naik ke Facebook, di mana kanak-kanak berkenaan dibiarkan bogel dan dirantai di susur tangan tangga mulai jam 10 malam Sabtu hingga 3 pagi Ahad lalu sehingga menyebabkan mangsa terpaksa membuang air kecil di tangga.
