Itu luahan kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun yang dibogel dan dirantai ayahnya selama lima jam di tangga luar rumah mereka di Paya Terubong hujung minggu lalu.
Kanak-kanak itu turut memberitahu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun bahawa beliau dihukum ayahnya kerana nakal.
Sehubungan itu, Mei Fun percaya suspek tidak berniat mendera anaknya dan dia mungkin bertindak demikian disebabkan tekanan yang dihadapi ketika menjaga anaknya.
“Saya percaya masalah keluarga ini boleh selesai dengan segera, bagaimanapun masih perlu tunggu siasatan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selesai dan serah laporan kepada hakim untuk membuat keputusan,” katanya yang dipetik China Press ketika melawat sebuah pusat perlindungan di Kepala Batas hari ini.
Beliau juga yakin mahkamah akan membuat keputusan terbaik demi masa depan kanak-kanak itu.
Mei Fun berkata, kanak-kanak itu petah bercakap dan ketika ditanya sama ada beliau merindui ayahnya, mangsa segera menjawab rindu.
Kejadian itu didedahkan susulan gambar dan video yang dimuat naik ke Facebook, di mana kanak-kanak berkenaan dibiarkan bogel dan dirantai di susur tangan tangga mulai jam 10 malam Sabtu hingga 3 pagi Ahad lalu sehingga menyebabkan mangsa terpaksa membuang air kecil di tangga.
Bapa mangsa yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah itu kemudiannya dibebaskan, selepas dia menyerah diri dan disoal siasat polis.
Penduduk setempat sebelum ini mendedahkan mangsa sering dimarahi dan dipukul bapanya.
Menurut mereka, suspek juga pernah memukul mangsa dengan pemukul besbol, selain menghalau dan membiarkan anaknya merayau di luar rumah, kerana dipercayai nakal dan tidak pulang ke rumah dengan segera selepas sekolah.
