Murung punca jurutera bunuh kekasih

Murung punca jurutera bunuh kekasih

Tertuduh membunuh teman wanitanya pada Hari Kekasih.

depress

GEORGE TOWN:
Seorang pakar psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan memberitahu Mahkamah Tinggi jurutera Cheong Teik Keon, 34, yang didakwa atas pertuduhan membunuh teman wanitanya pada Hari Kekasih berada dalam keadaan kemurungan.

Datuk Suaran Singh Jasmit Singh, 63, berkata berdasarkan laporan penilaiannya terhadap Teik Keon, lelaki itu menghidap penyakit mental iaitu kemurungan.

“Saya juga berpendapat pada masa kejadian tertuduh berada dalam keadaan tidak waras dan tertuduh layak berada di mahkamah untuk membela diri,” katanya ketika memberi keterangan pada pembelaan kes Cheong hari ini.

Sementara itu mengenai kandungan emel oleh tertuduh, Suaran berkata pada masa Teik Keon menulis emel itu, tertuduh dalam keadaan teruk tertekan dan mentalnya terjejas.

“Pada masa sama, tertuduh tidak dapat berfikir secara waras, menyebabkan dia tidak mampu memberitahu perkara yang betul dan dalam erti kata lain, dia tidak tahu tindakan membunuh si mati itu salah atau bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, Teik Keon diperintah membela diri selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada Januari 2014, Teik Keon didakwa di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh Tan Ching Chin, 24, di Taman Hwa Seng, Jalan Roshan, Alma di sini pada 8.40 pagi, 14 Februari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, saksi pembelaan itu tidak bersetuju dengan cadangan Lim bahawa tiga faktor yang mendorong kepada kemurungan tertuduh adalah disebabkan berada dalam tahanan penjara, kehilangan orang tersayang serta menghadapi pertuduhan yang serius.

Saksi itu juga mengakui beliau mula membuat penilaian mental terhadap tertuduh pada 9 Ogos 2014 iaitu selepas setahun enam bulan kejadian bunuh berkenaan berlaku.

Mahkamah menetapkan 1 Jun ini hujahan kes tersebut.

Tertuduh diwakili peguam Ram Karpal Singh dan Mohamad Arif Shaharuddin.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.