Kami bukan berseluar pendek, tak bertudung, kata naib presiden PAS

Kami bukan berseluar pendek, tak bertudung, kata naib presiden PAS

Idris Ahmad menjawab tuduhan parti itu ketinggalan zaman kerana tampil dengan pakaian hulubalang Melayu.

Idris-Ahmad_pas_600

KUALA LUMPUR:
Naib Presiden PAS Idris Ahmad membidas mereka yang mengkritik pimpinan parti itu kerana berpakaian hulubalang Melayu lengkap dengan keris dan tengkolok, pada perasmian Muktamar Pemuda PAS baru-baru ini.

“Apa masalahnya dgn keris dan tengkolok? Berdosakah? Kalau perwakilan Pas pakai seluar pendek. Muslimat pula tdk bertudung. Pimpinan Pas bersalam lelaki perempuan. Barulah Pas boleh dituduh sesat,” tulisnya dalam Facebook.

Rabu lepas, pemimpin kanan sayap Pemuda PAS dan Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tampil dengan pakaian ala pahlawan Melayu silam.

Muktamar kali ini juga melihatkan kelainan dengan pertunjukan silat dan upacara menjulang keris gergasi oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum memotong pulut hijau putih.

Susulan itu, Ketua Komunikasi AMANAH Khalid Samad menyifatkan bekas partinya itu “mabuk” dan ketinggalan zaman.

“Anggap diri berada di zaman lain. Dia berada dalam kurun 21 tapi pergi perasmian majlis rasmi pakai baju hulubalang abad ke-14! Ini orang mabuk,” katanya semalam.

Idris berkata PAS semakin mantap dan dibuktikan dalam muktamar kali ini.

“Cita2 hdk lihat Pas berpecah dan ghuyub drp persada politik. Muktamar tdk bermaya. Ahli tdk hadir. Semua tdk berjaya. Alhamdulillah Pas semakin mantap. Apabila hati sudah benci maka setiap langkah Pas semuanya sumbang.

“Akhirnya isu keris dan pakaian tengkolok yg jadi isu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.