Mengapa polis gagal kesan Huckle, soal peguam hak asasi

Mengapa polis gagal kesan Huckle, soal peguam hak asasi

Lawyers for Liberty berkata adalah pelik jenayah Richard Huckle tidak dapat dikesan walaupun beliau berada di bawah pengawasan pihak berkuasa Britain dan Australia.

Lawyers-for-Liberty

PETALING JAYA:
Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga gagal mengesan warga British, Richard Huckle, susulan pengakuannya mencabul kanak-kanak ketika berada di Malaysia.

Jurucakap LFL, Melissa Sasidaran berkata adalah mengejutkan pihak berkuasa tempatan gagal mengesan jenayah serius terhadap kanak-kanak seperti yang dilakukan Huckle.

“Bilangan mangsa Huckle yang ramai dan wujudnya jenayah sebesar itu di Malaysia membangkitkan persoalan sama ada pihak berkasa benar-benar tidak menyedari ia berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu segera mendedahkan usaha memastikan jenayah sama tidak berulang.

Tambahnya, adalah pelik jenayah Huckle tidak dapat dikesan walaupun beliau berada di bawah pengawasan pihak berkuasa Britain dan Australia disebabkan bahan yang dimuat naik di Internet.

“Memandangkan kebanyakan mangsa adalah rakyat Malaysia, tidakkah ada kerjasama langsung di antara agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa dan PDRM menangani jenayah yang serius seperti ini, sehinggakan dia hanya ditangkap selepas pulang ke Britain?” soal Melissa.

Menurut laporan, Huckle, 30, mungkin mencabul hingga 200 kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 12 tahun dari tahun 2006 hingga 2014.

Sebuah mahkamah di London dijangka menjatuhkan hukuman terhadapnya hari ini.

Sebanyak 91 tuduhan dikenakan terhadapnya mengaitkan 23 kanak-kanak kebanyakannya daripada komuniti miskin di Kuala Lumpur. Dia mengaku terhadap 71 tuduhan.

Huckle berkata dia melawat Malaysia untuk program penempatan mengajar semasa dia berusia 18 atau 19 tahun sebelum dia melatih kanak-kanak untuk seks ketika melakukan kerja sukarela di Kuala Lumpur.

Semalam, polis Malaysia berkata langkah sedang diambil mengenal pasti mangsa Huckle.

Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata ia sudah menghubungi agensi jenayah Britain, National Crime Agency (NCA), menyerahkan butiran kes berkenaan.

“Setakat ini mangsa belum dikenal pasti dan pihak NCA cuma maklumkan mengenai kejadian ini kira-kira sebulan lepas, tetapi tidak memberikan maklumat kerana kes masih dalam perbicaraan.

“Kami telah minta maklumat berkali-kali dan akan terus mendesak mereka beri butiran lanjut untuk tindakan susulan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.