Polis tahan suami isteri, rampas 182kg ganja

Polis tahan suami isteri, rampas 182kg ganja

Kedua-dua suspek yang positif dadah itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

ganja

GEORGE TOWN:
Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis ganja sebanyak 182kg bernilai kira-kira RM540,000 dalam beberapa serbuan di sekitar Jelutong, di sini semalam.

Bertindak hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lepas, sepasukan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang menahan seorang lelaki dalam sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jelutong pada 12.30 tengah hari ini.

Sumber berkata hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai tukang paip itu, polis menemui sejumlah ganja sebelum menyerbu rumah suspek di kondominium berkenaan dan menahan isterinya berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan polis menemui hampir lapan kg dadah jenis ganja yang disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum mereka membawa pasukan polis ke tapak letak kereta di sebuah kawasan perumahan berhampiran kondominium berkenaan.

“Polis membuat pemeriksaan ke atas kereta yang diparkir di situ dan menemui 187 ketulan ganja yang disembunyikan dalam tiga guni. Anggaran berat dadah itu kira-kira 91kg,” katanya.

Sumber itu berkata susulan rampasan berkenaan, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Dodol, di sini dipercayai dijadikan tempat penyimpanan ganja milik pasangan suami isteri berkenaan.

Katanya, pemeriksaan dalam rumah itu, polis merampas empat guni ketulan mampat dadah anggaran berat kira-kira 83kg yang disembunyikan di bahagian dapur kediaman berkenaan.

Nilai ganja yang dirampas di situ kira-kira RM240,000, katanya.

“Pasangan suami isteri yang positif dadah itu akan direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Sting PDRMSia atas kejayaan berkenaan.

“Syabas Sting PDRMsia tadi tangkap dua orang dan rampas lebih 182 kilogram ganja di Jelutong, P.Pinang.GoPDRMgo,” katanya.

— BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.