Tiada arahan dakwa dua lelaki kutuk TMJ

Tiada arahan dakwa dua lelaki kutuk TMJ

Kedua-dua lelaki itu ditahan kerana memuat naik komen menghina TMJ di laman sosial media.

tmj

PETALING JAYA:
Tiada arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya sama ada mahu mendakwa dua lelaki yang didakwa menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman media sosial.

Peguam, Faiz Fadzli Noor berkata, tiada arahan untuk mendakwa Muhammad Masyhur Abdullah dan Aiden Chew di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Saya telah jumpa Aiden semalam. Remannya akan tamat esok (4 Jun),” katanya.

Faiz berkata, tiada keperluan untuk mendakwa kedua-dua lelaki itu kerana tiada implikasi jenayah dalam catatan sosial media mereka.

“Tunku Mahkota juga telah mengingatkan polis supaya tidak lagi menahan mereka yang mengkritik beliau,” katanya sambil menambah jika polis menghormati TMJ, semua tahanan perlu dilepaskan.

Minggu lalu, polis Johor menahan seorang lelaki di Dengkil berhubung catatan di Facebooknya yang didakwa menghina Tunku Ismail.

Manakala seorang pengguna Twitter, Masyhur yang menggunakan akaun ‘Keluang Man’ ditahan minggu lalu kerana memuat naik mesej jelik yang mengutuk TMJ.

Penyokong bola sepak Pahang itu dituduh mengeluarkan komen berunsur penghinaan terhadap Tunku Ismail sebagai reaksi terhadap gambar manipulasi grafik yang memaparkan TMJ sedang menikmati hidangan seekor gajah tertera perkataan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dalam laman Twitter Johor Southern Tigers, selepas Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Pahang 6-0 dalam perlawanan Liga Super bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.