Ketua Ekonomi/Strategi Pelaburan IQI Group Holdings Shan Saeed berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada beberapa faktor, termasuk risiko geopolitik, yang boleh memberi kesan ketara terhadap ekonomi global yang berkemungkinan melonjakkan harga minyak.
“Saya berpendapat pada masa ini harga minyak mentah sepatutnya diniagakan pada paras antara AS$50 hingga AS$60 setong,” katanya.
Beliau berkata permintaan dijangka mencecah 94 juta tong dan 95 juta tong sehari dalam tempoh dua tahun akan datang, hampir dengan pengeluaran semasa dunia pada 96 juta tong sehari.
Brent Crude, penanda aras global bagi minyak mentah, kekal melepasi AS$50 setong hari ini, disokong penurunan inventori Amerika Syarikat mencatatkan pengurangan bagi minggu ketiga berturut-turut.
Sementara itu, pakar ekonomi MIDF Research Izzuddin Yussof berkata harga minyak tidak terjejas oleh keputusan mesyuarat OPEC pada Khamis setelah para pelabur sudah mengambil kira sebarang kemungkinan persetujuan mengehadkan pengeluaran, kerana kesungguhan Iran untuk meningkatkan pengeluaran.
“Iran tidak akan bersetuju dengan sebarang langkah mengehadkan pengeluaran dalam usaha untuk mendapatkan semula bahagian pasaran sebelumnya (sebelum sekatan barat).
“Harga itu juga masih di paras yang sama, walaupun kegagalan OPEC mengehadkan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata pengeluaran dunia mula turun sejak awal tahun ini, menjadikannya paras semasa harga minyak kukuh, jika dibandingkan dengan sebelum ini di bawah AS$30 setong.
“Paras di bawah AS$30 setong sebelum ini lebih rendah daripada kos pengeluaran bagi banyak negara, yang menyebabkan penurunan pengeluaran,” katanya.
Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata harga minyak global dijangka diniagakan tiga peratus lebih tinggi daripada paras semasa AS$50 setong pada akhir 2016.
“Ia perlu kekal pada paras ini, mungkin melebihi AS$52 setong atau AS$53 setong tahun ini,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, berkata pendirian tidak tegas OPEC dalam menyokong harga minyak menjejaskan kemajuan dan kestabilan ekonomi dunia.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad berharap OPEC akan komited terhadap janji untuk menetapkan harga lebih baik yang akan mencetuskan sentimen positif dalam pasaran.
“Dengan menetapkan siling, tidak mengeluarkan lebih banyak dan gangguan pengeluaran di Kanada dan Nigeria, mengurangkan penawaran di pasaran akan meningkatkan harga,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi berkata harga minyak masih dianggap kukuh, jika bergerak antara AS$50 dan AS$60 setong.
— BERNAMA
