Menurut agensi berita berpangkalan di UK, The Telegraph hari ini melaporkan hakim, Peter Rook QC menjatuhkan 22 hukuman penjara seumur hidup ke atas lelaki berusia 30 tahun itu yang merupakan pedofil paling teruk dalam sejarah Britain.
Dia didakwa mencabul sehingga 200 kanak-kanak Malaysia serta memuat naik rakaman video tindakan jijiknya ke laman sesawang gelap.
Jurugambar bebas dari Ashford di Kent itu mengaku bersalah mencabul kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun sejak 2006 hingga 2014.
Dia menyamar sebagai penganut Kristian warak, dermawan dan guru bahasa Inggeris yang menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga miskin di Kuala Lumpur sepanjang tempoh itu.
Gambar-gambar dan video pencabulan seksual ke atas mangsa dikongsi pedofil seluruh dunia menerusi laman sesawang gelap TLZ – The Love Zone yang tidak wujud lagi.
Seramai 23 kanak-kanak dikenal pasti daripada 71 pertuduhan, meskipun ramai lagi yang menjadi mangsa pencabulan dan penderaan seksualnya.
Tertuduh pada awalnya menafikan semua 91 pertuduhan, sebelum mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan itu dalam satu siri perbicaraan, termasuk 14 dakwaan rogol dan 31 serangan seksual.
Richard ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London pada Disember 2014 setibanya dari Malaysia untuk meraikan sambutan Krismas di Britain.
