Tipulah jika Umno tak sedar MCA anti-Islam, kata Ridhuan Tee

Tipulah jika Umno tak sedar MCA anti-Islam, kata Ridhuan Tee

Menurut Ridhuan, MCA tidak pernah menggunakan khidmat saya sebagai jambatan untuk memahami Islam.

ridhuan-tee-mca-umno

PETALING JAYA:
Pensyarah kontroversi Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini membidas bekas partinya MCA sebagai “parti ultra kiasu yang anti Islam” yang berpura-pura menyokong kerajaan bagi mendapatkan projek, tetapi sebenarnya menentang agenda Islam.

“Ironinya, DAP lebih berterus terang daripada MCA, yang menjadi musuh dalam selimut. Tipulah, jika Umno tidak sedar,” kata Ridhuan, yang sebelum ini mengejutkan ramai pihak berkenaan keahliannya dalam parti Cina itu.

Ridhuan mengumumkan keluar MCA kerana parti itu menentang rang undang-undang yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awnag, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menulis dalam akhbar Sinar Harian hari ini, Ridhuan menyelar pemimpin MCA kerana tidak sedar mengenai keahliannya.

“Kononnya tidak nampak muka saya dalam acara mereka. Perlukah kesemua 1.07 juta ahli menghadiri acara MCA? Dewan mana yang boleh memuatkan? Layakkah mereka memimpin negara?”

Katanya, dalam 20 tahun bersama MCA, ia tidak pernah meminta bantuannya bagi memahami Islam.

“Pemimpinnya jahil tentang ahli mereka sedangkan saban kali saya menerima emel berita buletin MCA. Bagaimanakah saya rasis sehingga 20 tahun di MCA? Isteri saya Melayu lah. Siapa rasis?” tanya beliau.

Ridhuan juga menuduh MCA cuba melobi bertanding kawasan majoriti Melayu, termasuk di Gua Musang, Kelantan.

“Sekiranya Umno melayan permintaan MCA, Umno akan kehilangan lebih banyak kerusi malah mengkhianati amanah Melayu Islam.”

“Kenapa MCA sentiasa mahu bertanding di Dun dan Parlimen majoriti Melayu, meskipun kerusi senator adalah juga laluan mendapatkan kerusi menteri?” tulisnya, sambil memberi amaran Umno jangan memaksa pengundi Melayu mengundi calon MCA.

Ridhuan kemudian memberi amaran kepada MCA “dan parti ultra kiasu lain” yang menentang pindaan akta syariah.

“Melayu dengan Islam sudah sebati, ibarat darah dan daging. Jika dicabar, pasti ada akibatnya. Inilah jiwa dan hati budi Melayu.

“Sudah hampir 60 tahun merdeka, sensitiviti ini langsung tidak diendahkan. Kita terlalu memberi muka sehingga kaduk naik junjung. Seandainya saya seorang PM, agenda Islam sudah lama saya ketengahkan untuk dihayati oleh semua rakyat jelata tanpa mengira agama, kerana Islam adalah agama persekutuan dan agenda negara.

“Ini tidak, sudahlah Islam masih tidak difahami, bahasa Melayu bahasa negara pun tidak dikuasai. Cakap tunggang-langgang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.