8 atau 20 rakaat: Asri selar ‘pelampau’ solat tarawih

8 atau 20 rakaat: Asri selar ‘pelampau’ solat tarawih

Menurut mufti Perlis itu, istilah tarawih itu sendiri tidak pernah digunakan pada zaman Nabi Muhammad.

dr asri

PETALING JAYA:
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menempelak sesetengah pihak yang cuba mewajibkan solat tarawih 20 rakaat, sedangkan sarjana Islam berbeza pendapat mengenai jumlah rakaat ibadah tersebut.

Dalam catatannya di Facebook, Asri berkata tidak perlu keterlaluan dalam menunaikan solat yang didirikan pada malam Ramadan itu.

“Lebih melampau lagi apabila berbohong dengan menyatakan bilangan 20 rakaat itu diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari. Itu adalah pembohongan yang besar,” tulis Asri.

Masjid di Perlis biasa mengamalkan solat tarawih 8 rakaat, berbeza dengan kebanyakan masjid seluruh negara yang mengamalkan 20 rakaat.

“Kita tidak patut berbalah soal 8 ataupun 20 rakaat itu. Orang yang solat tarawih 8 rakaat bukan semestinya dia berpegang dengan fahaman tertentu, tetapi mungkin juga kerana dia sibuk, keletihan dan seumpamanya.

“Janganlah kita menolak pahala solat tarawih orang lain atas sikap fanatik dan ekstrimisme kita,” tulis Asri.

Menurutnya, istilah tarawih itu sendiri mula digunakan selepas zaman Nabi Muhammad, dan cara solat sunat itu didirikan pula berbeza-beza dari segi jumlah rakaat.

“Di Perlis, secara rasmi solat tarawih 8 rakaat dan 3 witir. Pun begitu tidak pernah kita menyatakan salahnya solat tarawih 20 rakaat itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.