Oleh Debbie Injan Anak Andrew Jumat
Kita sedia maklum setiap kali hujan lebat, banjir kilat ini akan berlaku terutamanya di kawasan yang pesat membangun. Disebabkan banjir ini, ramai orang awam terperangkap dalam banjir kilat tersebut. Kenderaan seperti motosikal dan kereta telah mengalami kerosakan akibat tenggelam dalam banjir. Di sini kita boleh lihat kemungkinan punca-punca banjir kilat ini boleh berlaku.
Punca yang utama adalah perilaku kita sendiri. Manusia yang tamak telah menyebabkan bencana banjir kilat selalu terjadi di bandar raya terutamanya selepas hujan lebat. Pembinaan bangunan yang semakin pesat, pusat perindustrian dan jalan tar menyebabkan air hujan tidak mampu meresap ke dalam tanah. Sejurus itu menyebabkan banjir kilat. Pembangunan pusat perindustrian yang semakin berkembang di Malaysia sebagai penggerak roda ekonomi turut menyumbangkan pencemaran kepada alam sekitar terutamanya sungai atau laut dan juga udara.
Tingkah laku manusia yang kurang didikan dari segi alam sekitar seperti pembuangan sampah ke dalam sistem peparitan menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dan melimpah ke atas jalan raya. Itu terjadinya banjir kilat. Ramai orang awam tersangkut di jalan gara-gara banjir baru-baru ini. Setiap aktiviti pembangunan haruslah mempunyai Standard Operating Procedure (SOP) dan juga Enviroment Impact Accessment (EIA) dalam mengendalikan atau melakukan kerja-kerja pembangunan.
Pembuangan sampah ke dalam sungai juga menyebabkan pencemaran sungai. Sungai merupakan sumber air mentah yang akan dirawat di loji rawatan air dan kemudiannya disalurkan ke dalam rumah anda. Mungkin anda tidak sedar atau buat tidak tahu, air yang sampai ke rumah anda, yang anda minum datang dari tempat anda membuang sampah tadi. Secara kasarnya, anda minum air dari sampah anda semula.
Kesimpulannya, kebanyakan bencana alam banjir ini di akibatkan oleh perbuatan manusia sendiri yang lalai dalam menjaga alam sekitar. Saya ingin menegaskan pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan haruslah berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini terutamanya dari segi memberi kesedaran kepada orang awam. Jangan biarkan masalah itu jadi bola, diserahkan ke sana sini dan akhir sekali tiada satu pun pihak yang menyelesaikan masalah tersebut.
Debbie Injan Anak Andrew Jumat adalah Eksekutif Penyelidikan & Dasar Forum Air Malaysia
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT;
