Damba patung beruang, warga emas lesap RM1.6 juta

Damba patung beruang, warga emas lesap RM1.6 juta

Wanita berusia 50-an itu terpedaya dengan suspek yang dikenali di laman sosial pada Oktober tahun lalu.

teddy

PETALING JAYA:
Kerana terlalu mendambakan kiriman ‘teddy bear’ dan wang tunai AS$105,000 (RM612,141) daripada ‘sahabat’ dari Amerika Syarikat (AS), seorang wanita warga emas kerugian RM1.6 juta.

Menurut Sinar Harian, difahamkan mangsa berkenalan dengan suspek warga AS dikenali sebagai Bill David melalui media sosial Interpals.net sejak Oktober 2015.

Mangsa, 50-an, bekas pekerja spa kecantikan yang masih bujang itu hilang semua wang simpanannya yang diperoleh daripada jualan tanah pusaka ladang getah selepas melakukan 85 transaksi pindahan wang ke dalam 18 akaun suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Azizan Md Isa berkata semua transaksi itu dibuat dalam tempoh empat bulan dari Oktober 2015 hingga Februari 2016.

“Sebagai tanda perkenalan suspek menghubungi mangsa kononnya menghantar kiriman bungkusan mengandungi teddy bear dan wang tunai AS$105,000,” katanya dipetik daripada Facebook polis Pahang.

Azizan berkata suspek memerangkap mangsa dengan memperdaya mereka kononnya kiriman itu bermasalah dan sejumlah bayaran perlu dijelaskan sebelum ia boleh dituntut.

Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dia tertipu.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan jangan mudah tertipu dan percaya kenalan di laman sosial berdasarkan paras rupa, kata-kata manis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.