Katanya pembangkang hanya boleh menyalahkan diri sendiri memandangkan mereka yang sering mencerca polis dan tentera.
“Tanya diri sendiri sebab yang selalu maki-hamun polis, malah gigit polis adalah segelintir pemimpin pembangkang.
“Macam mana polis nak sokong mereka? Akibat perbuatan segelintir pembangkang, pengundi awal tidak menyokong mereka,” katanya dalam sidang media hari ini, seusai program lawatan rumah ke rumah di Taman Bunga Raya.
Hari ini merupakan hari pengundian awal bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi antara lain anggota polis, tentera dan pasukan gerakan am (PGA).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang berkata sistem pengundian awal negara yang tempang menyebabkan beberapa kerusi menjadi deposit undi tetap BN.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mendakwa pada Pilihan Raya Umum ke-13, BN memenangi 30 daripada 133 kerusi Parlimen melalui pengundi awal dan pos.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata lagi, sistem pengundian awal sekarang sudah jauh bertambah baik berbanding “ketika ayah Nurul Izzah masih bersama kerajaan”.
“Sistem sekarang jauh lebih telus, cara pengundian membolehkan undian dibuat dengan bebas.
“Mereka perlu sedar jika kalah dalam PRK ini, ia kerana mereka gagal satukan parti di bawah pakatan mereka, dan jika di Sungai Besar kerana dakwaan rasuah kerajaan negeri seperti yang didakwa pemimpin mereka sendiri,” katanya lagi.
