Program yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang itu turut menampilkan Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Datuk Ibrahim Saad dan Ketua Penolong Pengarah E8 Counter Terrorism Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ayob Mydin Pitchay.
“Jangan malu dan segan, kalau ada sebarang soalan silakan,” kata Arul kepada penjawat awam yang hadir, yang menambah beliau tidak pernah mengelakkan soalan sama ada dari dalam atau luar negara berkenaan 1MDB.
Arul menjelaskan panjang lebar masalah yang dihadapi 1MDB, yang menurutnya diperbesarkan oleh pembangkang.
Antara soalan penjawat awam kepada Arul ialah sama ada keuntungan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digunakan untuk membayar hutang syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Arul menjelaskan GST tidak digunakan membayar hutang 1MDB, dan berkata GST merupakan sistem baik yang dipolitikkan.
Mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB, Arul menafikan ia merupakan wang 1MDB.
“Isu RM2.6 bilion ini, tidak ada dana dari 1MDB yang dibayar ke dalaun akaun peribadi perdana menteri. Ini satu fakta, bukannya pendapat, dan kalau kita lihat penelitian, tidak ada sebarang bukti bahawa terdapat bayaran yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri.
“Yang menyiasat mengenai isu RM2.6 bilion adalah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), lima ahlinya adalah daripada pembangkang. Kalau mereka tidak dapat bukti, kenapa ada orang lain boleh menyatakan dan membuat andaian tersebut?” katanya, sambil menambah peguam negara mengesahkan RM2.6 bilion itu adalah derma dari negara Arab.
Ditemui media selepas program tersebut, Arul enggan mengulas lanjut tujuan beliau hadir ke Sungai Panjang memandangkan ketika ini adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
