Perkelahian syariah rebut anak luar nikah

custody-court-girl-1

PETALING JAYA: Seorang ibu dan anaknya dipisahkan sekali lagi dalam perkelahian hak penjagaan anak melibatkan undang-undang syariah, cuma kes kali ini mengenai seorang anak luar nikah.

Nor Arlene Ruffin Mark Britt Ruffin ketika ini merebut hak penjagaan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

Bapanya, Mohd Izam Mohd Ramzan, kini bekas teman lelakinya, didakwa menculik anak kecil itu.

Walaupun undang-undang menyebelahi Arlene, Izam mendakwa masa lampau si ibu membuktikan dia tidak layak untuk menjaga anak mereka, dan mempertikaikan undang-undang yang menurutnya tidak mengambil kira kepentingan si anak.

Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan seorang anak Islam yang dilahirkan luar nikah tidak boleh dikaitkan kepada mana-mana lelaki yang mendakwa bapanya.

Undang-undang syariah Malaysia turut menetapkan sebegitu rupa. Menurut Seksyen 85 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), hak penjagaan anak luar nikah hanya diberikan kepada ibu atau waris kadim.

Walaupun peruntukan undang-undang jelas, namun perlaksanaan tidak.

Bercakap kepada FMT, Arlene memberitahu dia berumur 19 tahun apabila mendapati dirinya mengandungkan anak Mohd Izam. Dia mendakwa Izam tidak mahukan anak itu dan meminta Arlene menggugurkannya.

Selama lapan tahun selepas Arlene meninggalkan Izam, dia membesarkan anak itu berseorangan, melakukan apa sahaja untuk mencukupkan keperluan anak-beranak.

Dia mengakui kesilapan dulu dan mengambil tanggungjawab, tetapi keadaan yang semakin menyesakkan memaksa Arlene menghubungi Izam, yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sendiri.

Mereka bersetuju hak penjagaan bersama tetapi lebih setahun lalu, Izam enggan menyerahkan anak perempuan itu.

“Satu hari semasa saya tiada di rumah, dia datang ke rumah ibu saya dengan segerombolan samseng dan merampas anak saya tanpa waran atau perintah mahkamah. Saya tak bertemu anak saya sejak kejadian itu.”

Setahun dan dua bulan berlalu, Arlene melakukan apa yang termampu untuk bertemu anaknya.

Walaupun mahkamah menyebelahi Arlene, pihak berkuasa nampaknya tidak.

Menurut wanita berusia 30 tahun itu, dia mempunyai perintah mahkamah memerintahkan Izam menyerahkan hak penjagaan anak mereka buat sementara waktu.

Ketika Arlene pergi ke rumah Izam diiringi sekumpulan anggota polis, dia mendakwa diberitahu polis mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan bapa Izam, seorang peniaga yang berjaya, “sangat marah terhadap mereka semua”.

“Memikirkan anak saya membuat saya sering menangis. Saya sudah berubah dan sekarang ini saya bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah sanggar komedi, tetapi dia masih tuduh saya ibu yang tidak berkemampuan. Saya hanya mahukan anak perempuan saya.”

Beliau memohon hak dwi-penjagaan ke atas anak perempuannya dan sebutan kes ditetapkan 16 Jun lalu, tetapi ketidakhadiran Izam menyebabkan ia ditangguhkan ke 26 Julai.

Izam: Demi kepentingan anak

FMT menghubungi Izam yang mendakwa dia menjaga kepentingan anaknya kerana sepanjang berada dalam jagaan Arlene, anaknya tidak pergi ke sekolah dengan kerap. Beliau juga mendakwa ada satu ketika, anaknya dicabul oleh anak lelaki jiran akibat kecuaian Arlene.

“Saya tahu undang-undang syariah kerana saya pernah mengambil khidmat seorang peguam syariah untuk merebut anak perempuan saya. Malangnya, saya tewas kerana undang-undang syariah tidak mengambil kira kepentingan si anak dan hak saya sebagai bapa kandung.

“Tak kiralah sama ada si ibu memudaratkan si anak, atau memaksa si anak ke lembah pelacuran, bapa kandung tidak punya hak penjagaan.

“Perkara itu mengganggu saya dan bagi saya tidak berperikemanusiaan. Sedih kerana di negara bukan Islam, hak penjagaan diberi kepada pihak yang akan menjaga demi kepentingannya.”