Doktor Islam bidas hujah ‘jahil’ anti-vaksin, mahu mufti beri penjelasan

Doktor Islam bidas hujah ‘jahil’ anti-vaksin, mahu mufti beri penjelasan

Mereka yang tiada keahlian dalam ilmu dan perihal perubatan yang rumit merupakan dalang menyebarkan prasangka buruk tentang vaksin.

anti-vaksinasi

KUALA LUMPUR:
Sekumpulan pakar perubatan beragama Islam hari ini mengkritik sikap sesetengah umat Islam yang mudah terpengaruh dengan hujah anti-vaksinasi kononnya ia menggunakan bahan tidak halal di samping mendakwa ia sebahagian konspirasi musuh Islam.

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dalam kenyataannya turut menyeru pihak berkuasa agama termasuk mufti menyampaikan fakta benar mengenai vaksin bagi mengelakkan prasangka tidak benar.

“Mana-mana pihak agama dan masyarakat yang masih keliru tentang peranan dan kepentingan vaksin disyorkan bertanya kepada mereka yang ahli dalam bidang ini iaitu doktor dan pakar perubatan,” kata Presiden IMAM, Datuk Dr Abd Rahim Mohamad.

Beliau mengulas penularan penyakit difteria dengan 11 kes dikesan melibatkan dua kematian baru-baru ini.

Difteria ialah penyakit mudah berjangkit, di mana bakteria mudah membiak di kawasan kotor.

Kementerian Kesihatan menyediakan jadual vaksinasi sebagai langkah mengelak jangkitan, membabitkan lima suntikan vaksin iaitu ketika berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan, sehingga kana-kanak berusia 15 tahun.

Berikutan kematian itu, beberapa pengguna media sosial mempersoalkan sama ada vaksin berkenaan berkesan, dan ada pula yang membangkitkan teori konspirasi dengan mendakwa vaksin merupakan usaha pihak tertentu melemahkan zuriat di kalangan populasi Muslim.

Dr Abd Rahim menganggap pemikiran sedemikian “cetek” dan menunjukkan kejahilan mengenai sejarah vaksin yang sudah diiktiraf ribuah doktor Islam di seluruh dunia.

“Kehilangan nyawa oleh penyakit yang seharusnya dapat dicegah vaksin adalah suatu yang amat dikesali. Masyarakat tidak boleh fikir mudah mengatakan zaman Nabi dahulu tiada masalah walaupun tiada vaksin.

“Hakikatnya dunia hari ini terdapat pelbagai penyakit baru dan juga kemudahan pergerakan diantara negara/benua mendedahkan masyarakat kepada 1,001 penyakit dari serata dunia,” katanya, dan menambah vaksinasi merupakan tanggungjawab fardu kifayah.

Menurutnya, penyakit difteria timbul kembali kerana ada ibu bapa tidak mahu mematuhi polisi dan nasihat Kementerian Kesihatan menvaksinkan anak mereka mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau menyalahkan “kelompok agamawan yang tiada keahlian dalam ilmu dan perihal perubatan yang rumit” dalam menyebarkan prasangka mengenai vaksin.

“IMAM memandang proses pelalian vaksin adalah amat menepati saranan Syariat Islam yang meletakkan penjagaan nyawa (Hifz an-Nafs) sebagai antara Maqasid yang diberikan prioriti utama,” kata Dr Abd Rahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.