Ugut serang negara tindakan terdesak IS Malaysia

Ugut serang negara tindakan terdesak IS Malaysia

Pensyarah UIAM berkata pengganas itu membuat propaganda kerana sokongan daripada rakyat Malaysia menyertai IS semakin kurang.

Maszlee-Malik

PETALING JAYA:
Propaganda kumpulan pengganas IS dari Malaysia mengancam untuk menyerang negara ini merupakan tindakan terdesak kerana sedar pengaruh mereka di sini semakin ‘pupus’.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata rakyat Malaysia yang menyertai IS di sana sudah semakin terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Penyokong mereka semakin berkurangan kerana memperoleh maklumat sebenar (tentang kumpulan itu), oleh itu semakin kurang rakyat Malaysia terlibat dan pergi berjihad ke sana.

“Kenyataan mereka ini sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan kerana orang semakin kenal siapakah IS,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jumlah tangkapan dibuat pihak berkuasa terhadap rakyat Malaysia terlibat juga menunjukkan penurunan berdasarkan maklumat dikeluarkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin.

“Bilangan tangkapan sebelum ini lebih 180, dan jumlah itu semakin hari semakin kurang bilangan ditangkap, malah berdasarkan kenyataan polis tidak ramai lagi yang terlibat.

“Jumlah yang membuat propaganda IS menerusi Facebook juga berkurangan. Dengan membuat ancaman seperti ini, harapannya ingin menunjukkan mereka betul-betul kuat, namun hakikat sebenar mereka semakin lemah,” katanya.

Terbaru, video propaganda dikeluarkan kumpulan pengganas IS memaparkan pejuang warganegara Malaysia yang memberi amaran serangan terhadap orang awam, termasuk ‘memenggal leher’ anggota polis di Bukit Aman tidak lama lagi.

New Straits Times melaporkan, Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai video grafik yang memaparkan Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan, bersama dua lagi pejuang IS, memenggal tiga tebusan, dipercayai pengintip.

Selepas melakukan tindakan bacul itu, mereka bertiga menyampaikan pesanan kepada kerajaan masing-masing, dengan Rafi menggalakkan penyokong IS di Malaysia untuk menggunakan apa juga cara untuk “membunuh” golongan taghut (musuh Allah).

“Bunuhlah mereka di mana saja kalian bertemu mereka..kalian punya kenderaan, langgarlah mereka… kalian punya senjata atau pisau kecil, tikamlah dada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.