Kementerian janji siasat syarikat roti High-5

Kementerian janji siasat syarikat roti High-5

Pihak kementerian akan menghantar wakilnya bagi menyiasat syarikat roti berjenama High-5 yang didakwa tidak mengikut prosedur yang tidak betul.

high5_workers

PUTRAJAYA:
Kementerian Sumber Manusia akan menyiasat isu melibatkan bekas pekerja syarikat roti berjenama High-5 yang didakwa tidak mengikut prosedur betul.

Wakil pekerja Mohd Rosnizam Abu Said berkata, pihak kementerian berjanji menyiasat perkara itu di ibu pejabat syarikat itu esok.

“Mereka (kementerian) akan pergi siasat untuk berjumpa dengan majikan atau siapa-siapa yang bertanggungjawab untuk tahu kedudukan sebenar syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Wan Ismail Wan Ibrahim, selama hampir dua jam di Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 60 bekas pekerja High-5 membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Subang Jaya bagi menuntut pampasan berhubung pemberhentian mengejut 24 jam oleh High-5 Consolidated Bhd.

Mereka turut mendakwa hanya menerima setengah bulan gaji.

Rosnizam turut meminta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem campurtangan menyelesaikan gaji tunggakan dan pampasan.

Katanya, pihak kementerian turut menyatakan kesedihan berhubung nasib yang menimpa pekerja.

“Dia (Wan Ismail) pun ada terangkan apa yang perlu dibuat, berusaha untuk bantu dan tolong kita,” katanya.

Katanya, pihak kementerian akan cuba mendapatkan gaji bekas sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.