Letupan bom kedua di utara Bangladesh pada pagi Aidilfitri

eid-attackDHAKA: Sekurang-kurangnya dua anggota polis dan seorang warga awam terbunuh manakala sembilan pegawai polis cedera dalam satu kejadian letupan bom berhampiran sebuah kawasan terbuka ketika bacaan doa sempena Aidilfitri, semalam.

Menurut polis dan media tempatan, kira-kira 200,000 orang berkumpul berhampiran sebuah sekolah di daerah Kishoreganj di utara Bangladesh apabila bom meletup di premis tersebut pada Khamis.

Turut dilapor, berlaku insiden tembak-menembak di tempat kejadian dan salah seorang penyerang berjaya ditembak mati oleh pihak polis.

“Dua anggota polis, seorang penyerang dan seorang wanita yang terbunuh,” kata jurucakap polis kebangsaan AKM Shahidur Rahman kepada agensi berita AFP.

“Sembilan anggota polis turut cedera. Mereka berada dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke hospital tentera di Dhaka,” katanya.

Dua penyerang yang disyaki ditangkap, termasuk seorang yang ditembak dan cedera, manakala sepucuk pistol dan parang ditemui di tempat kejadian.

Sehingga berita ini dilapor, belum ada pihak pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Koresponden Al Jazeera, Maher Sattar yang berada di ibu negara Dhaka melapor, perhimpunan besar sempena solat hari raya lazimnya dianjurkan dengan sumbangan daripada kalangan organisasi dan ahli perniagaan dari golongan berada.

“Acara besar seperti ini biasanya mempunyai tahap kawalan keselamatan yang sangat baik.

“Ia sepatutnya menjadi satu acara yang terbaik dan dilindungi di negara ini,” katanya.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas 20 tebusan terbunuh kebanyakan ditetak hingga mati dalam pengepungan 12 jam di sebuah kafe mewah terkemuka di Dhaka.

Ia adalah salah satu serangan paling dahsyat pernah berlaku di Bangladesh.