Kerajaan mungkin benarkan hanya penumpang di terminal lapangan terbang

Kerajaan mungkin benarkan hanya penumpang di terminal lapangan terbang

Kabinet mencadangkan penghantar perlu berada di luar bangunan atau ditempatkan di tempat tertentu, hanya penumpang boleh berada di kaunter.

zahid-hamidi_aorport_600
ULAANBAATAR: Kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membenarkan hanya penumpang berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama di Malaysia bagi meningkatkan tahap keselamatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lepas mencadangkan hanya penumpang saja dibenarkan berada di kaunter masuk manakala penghantar perlu berada di luar bangunan atau ditempatkan di tempat tertentu.

“Kabinet arahkan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) memperincikan cadangan ini dengan MAHB, harap dapat lakukan dalam waktu terdekat,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Zahid, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah ke-11 yang bermula Jumaat, turut berkata Tiong Lai diminta mencari mekanisme supaya kereta yang menghantar atau menunggu penumpang tidak diletakkan berhampiran terminal.

“Mungkin kereta ini hanya dibenarkan diletakkan di tempat meletak kereta,” katanya ketika diminta mengulas serangan pengganas di Perancis malam Khamis yang mengorbankan lebih 80 orang.

Zahid berkata beliau mengarahkan kawalan keselamatan di semua lapangan terbang diperketat, termasuk penambahan anggota polis dan tentera di bawah National Blue Ocean Strategy atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Katanya, peralatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang akan ditambah, termasuk pembelian aset canggih seperti CCTV berdefinisi tinggi dan ‘peralatan mengenal pasti wajah’.

Pada masa sama, beliau berharap negara Asean lain akan turut mengetatkan keselamatan di lapangan terbang masing-masing.

“Saya yakin negara Asean lain bekerjasama melalui Jabatan Imigresen dan Kementerian Pengangkutan bagi mengetatkan kawalan keselamatan,” katanya.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.