Dalam pencarian rohani, ahli IS terjerumus ke jalan salah

Dalam pencarian rohani, ahli IS terjerumus ke jalan salah

Kebanyakannya mempunyai semangat berkobar, tetapi tidak memahami konsep jihad secara menyeluruh, kata peguam.

IS militan

PETALING JAYA:
Kebanyakan warga Malaysia yang menjadi ahli – atau paling kurang penyokong kepada pengganas IS terjerumus akibat tiada asas agama kukuh.

Dan dalam pencarian mereka menampung kekosongan rohani yang dirasakan, mereka masuk ke jalan keganasan yang salah sehingga meranapkan masa depan sendiri.

Dalam wawancara bersama FMT, peguam Nik Zarith Nik Mustapha dan Adi Zulkarnain Zulkafli berkongsi pengalaman mereka sepanjang mengendalikan beberapa kes tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas disyaki terlibat dengan kegiatan IS.

Nik Zarith berkata kebanyakan individu yang didakwa pekerja ‘kolar biru’ dan bukannya daripada latar belakang agama.

“Sesetengahnya sedang mencari dan memahami agama. Namun berbanding mendekati pihak seperti ustaz bertauliah atau ke masjid dan surau, mereka memilih alternatif lain yang mungkin bagi mereka lebih mudah didekati.

“Ini termasuk orang yang memang memiliki kecenderungan ke arah IS. Dan bermula dari situ, mereka terpengaruh. Secara mudah, mereka tersalah pilih jalan.

“Kebanyakannya mempunyai semangat yang berkobar, tetapi tidak memahami konsep jihad secara menyeluruh,” katanya tanpa menafikan wujudnya golongan yang benar-benar fanatik dengan ideologi IS itu.

Menyuarakan sentimen sama, Adi Zulkarnain berkata ia bermula dengan niat baik untuk memahami agama namun melalui jalan yang salah.

“Dan apabila sudah taksub, segala pertimbangan seperti keluarga dan kehidupan sudah tidak diambil kira. Sebab itu kita baca di media ada yang sanggup meninggalkan segala-galanya dan ke Syria,” katanya.

Setakat ini, kebanyakan individu yang didapati bersalah di bawah Sosma atas dakwaan terlibat dengan IS bukanlah daripada kelompok agama, sama ada dalam aspek pendidikan mahupun kerjaya.

Misalnya, Izwan Shameer Suzaimi, 26, dan Muhammad Lugman Hakim Abdul Aziz, 33, yang dihukum penjara 20 tahun atas kesalahan mempromosikan keganasan, masing-masing peniaga air dan pekerja di kedai tayar.

Begitu juga dengan Muhammad Saiful Hashim, 35, yang merupakan seorang pereka grafik dan dijatuhkan penjara 20 bulan kerana memiliki barang berkaitan kegiatan keganasan.

Stigma dipikul sepanjang hayat

Mereka berkata ada keluarga yang sukar menelan kenyataan apabila ahli keluarga sendiri terpalit dengan IS, yang selama ini hanya diikuti melalui media.

“Ini bukan saja kesalahan besar, tetapi fenomena global. Tentulah sedih dan terkejut apabila ada ahli keluarga yang didakwa terlibat dengan kegiatan seumpama ini.

“Apa yang lebih membimbangkan masa depan mereka terutama jika didapati bersalah dan dihukum. Keluarga pula bukanlah orang berada dan stigma ini akan melekat sepanjang hayat,” kata Nik Zarith.

Beliau merujuk kes seorang remaja yang masih bersekolah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun selepas didapati bersalah terlibat merancang serangan dalam negara.

Keputusan itu juga mengetepikan saranan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar remaja tersebut dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Sehubungan itu, Adi Zulkarnain menggesa masyarakat lebih berhati-hati apabila berdepan dengan isu ini, terutama ketika berkongsi apa saja bahan berkaitan IS di Internet dan media sosial.

“Ini boleh dikenakan tindakan. Begitu juga dengan menyimpan bahan berkaitan IS secara fizikal mahupun digital, seperti kes Saiful Hashim,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata polis sedang memantau kegiatan berkaitan Al-Fatihin yang diterbitkan IS, termasuk terhadap mereka yang memuat turun dan membacanya.

Al-Fatihin ialah surat berita berbahasa Melayu pertama kumpulan itu dengan edisi sulung diterbitkan pada Ramadan lalu, dan dilihat sebagai usaha terbaru IS dalam menarik lebih sokongan di rantau ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.